Lutkenhaus muncul atlet termuda AS pada Kejohanan Olahraga Dunia

EUGENE, Amerika Syarikat: Pada usia hanya 16 tahun, Cooper Lutkenhaus bakal mencatat sejarah sebagai wakil paling muda Amerika Syarikat (AS) pernah bertanding pada Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo bulan depan.

Lutkenhaus, penuntut Tingkatan 5 (junior) di Sekolah Menengah Northwest di Justin, Texas, menamatkan perlumbaan akhir 800 meter di tempat kedua pada Kejohanan Olahraga AS di Eugene, Oregon kelmarin, dengan catatan masa 1:42.27.

Acara itu dimenangi oleh Donovan Brazier dari Grand Rapids, Michigan.

Catatan masa Lutkenhaus memecahkan rekod dunia bawah 18 tahun (B-18) sebelum ini yang dipegang oleh Timothy Kitum dari Kenya semasa Sukan Olimpik 2012 dengan kelebihan 1.1 saat.

Ia juga merupakan catatan keempat terpantas dalam sejarah oleh pelari lelaki AS dan ke-18 terpantas dalam sejarah dunia.

Kurang setahun lalu, masa itu sudah cukup untuk dianggap sebagai rekod kebangsaan AS.

Rekod semasa bagi atlet termuda AS yang pernah menyertai Kejohanan Olahraga Dunia dipegang oleh Mary Cain, yang berusia 17 tahun tiga bulan pada tahun 2013, manakala Erriyon Knighton memegang rekod bagi lelaki termuda pada usia 18 tahun lima bulan.

Lutkenhaus, yang dijadualkan memulakan tahun persekolahan baharu dalam tempoh lebih seminggu, tidak akan menyambut ulang tahun ke-17 hingga bulan Disember.

“Saya terpaksa ponteng sekolah buat beberapa ketika,” kata Lutkenhaus kepada NBC Sports.

“Tetapi harapnya semua guru akan faham.” – REUTERS