TEL AVIV: Lebih 100,000 warga Israel membanjiri jalan di Tel Aviv malam tadi, bagi membantah rancangan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memperhebat perang di Gaza yang memasuki tahun kedua.
Mereka menuntut kempen ketenteraan itu dihentikan serta-merta dan semua tebusan dibebaskan.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Israel dan ada membawa sepanduk gambar tebusan.
Ada juga yang membawa sepanduk mengecam kerajaan dan mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghentikan Netanyahu daripada meneruskan rancangan itu.
Segelintir pula membawa gambar kanak-kanak Gaza yang terbunuh akibat serangan tentera.
Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Kabinet keselamatan dianggotai sekumpulan kecil menteri kanan memutuskan untuk menawan bandar Gaza.
Keputusan itu bertujuan memperluas operasi ketenteraan di wilayah Palestin yang musnah teruk itu biarpun ditentang hebat rakyat Israel kerana membahayakan nyawa tebusan.

Berdasarkan tinjauan pendapat orang awam, majoriti besar rakyat Israel mahu perang ditamatkan segera bagi membolehkan pembebasan baki 50 tebusan masih ditahan oleh Hamas di Gaza.
Pihak berkuasa Israel percaya kira-kira 20 tebusan masih hidup.
Israel terus menerima kritikan dari dalam dan luar termasuk sekutu rapat di Eropah, selepas mengumumkan peperangan akan diperhebat di Gaza.
Kabinet dijangka memberi kelulusan seawal Ahad.
Kebanyakan tebusan yang dibebaskan setakat ini melalui hasil rundingan diplomatik. Rundingan bagi gencatan senjata berpotensi membebaskan lebih ramai tebusan gagal pada bulan lalu.
Tel Aviv seringkali menjadi lokasi perhimpunan bagi mendesak kerajaan memeterai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan ditahan oleh Hamas. – REUTERS

