Southampton nafikan ‘kisah dongeng’ Wrexham

LONDON: Wrexham terpaksa menelan perit kekalahan memilukan 1-2 pada penampilan semula mereka di divisyen kedua bola sepak England selepas 43 tahun, apabila Southampton menjaringkan dua gol pada hujung perlawanan, malam tadi.

Disokong bintang Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney, Wrexham menikmati kebangkitan luar biasa dari Liga Nasional hingga ke Liga Kejuaraan menerusi tiga kenaikan divisyen berturut-turut.

Selepas sekali lagi membuat pelaburan besar pada jendela perpindahan musim panas ini, kelab dari Wales itu tampak berada di landasan tepat untuk memulakan misi ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan langkah bergaya.

Pelawat mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil penalti Josh Windass dan hampir menambah jaringan apabila percubaan Windass terkena palang.

Southampton, yang tersingkir daripada EPL musim lalu, memulakan era baharu di bawah bimbingan Will Still dan bekas jurulatih Lens itu memainkan peranan penting dalam kebangkitan pasukan.

Pemain pertahanan kiri, Ryan Manning dimasukkan pada suku akhir permainan dan tampil sebagai wira dengan satu gol serta satu umpanan jaringan.

Sepakan percuma cantik Manning pada minit ke-90 menyamakan kedudukan sebelum hantaran silangnya membolehkan Jack Stephens meledak gol kemenangan pada minit keenam masa kecederaan. – AFP