Ada negeri bantah untuk masukkan agensi, PBT di bawah Ombudsman Malaysia – Azalina

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti untuk memperluas bidang kuasa Ombudsman Malaysia yang akan ditubuhkan supaya agensi di peringkat negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bagaimanapun buat masa ini cadangan asal penubuhan badan bebas itu hanya meliputi agensi di peringkat Persekutuan.

“Dalam proses perangkaan dasar, kita turut teliti kemungkinan peluasan bidang kuasa kepada agensi peringkat negeri termasuk PBT. Ini tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan daripada kerajaan negeri tersebut.

“Berkaitan (peluasan) di peringkat kerajaan negeri, ia (dibincangkan) dalam sesi libat urus yang sedang berjalan walaupun ia sepatutnya tamat Julai,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) sama ada cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia ini akan turut mengendalikan aduan di luar bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, antaranya PBT yang berada di bawah kerajaan negeri. .

Ombudsman Malaysia adalah badan bebas mengamalkan konsep tidak memihak dalam menguruskan aduan disalurkan orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Azalina memaklumkan terdapat beberapa negeri yang membuat bantahan mengenai peluasan bidang kuasa Ombudsman Malaysia ini.

“Saya tak nak sebut negeri mana sebab ia masih di peringkat perbincangan… ini (bantahan) berlaku kerana ada negeri yang sudah ada ombudsman sendiri, ada negeri pula dalam proses nak wujudkan sendiri (ombudsman).

“Selain itu, ada juga negeri yang tak nak langsung campur tangan walaupun dari segi pemantauan pada agensi di peringkat negeri,” katanya.

Azalina juga berkata, libat urus mengenai cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia yang dilaksanakan sejak Julai tahun lalu bukan sahaja membabitkan pihak berkepentingan, tetapi turut mengambil kira pandangan pihak berkaitan di peringkat negeri.

“Dalam sesi libat urus yang kita jalankan, ia turut ambil kira pandangan negeri, ini kerana ada negeri yang ada FOI (Akta Kebebasan Maklumat) sendiri, misalnya Pulau Pinang dan Selangor. Ini memerlukan kita buat perangkaan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Saya harap insya-Allah kita dapat buat (bawa ke Parlimen) pada sesi akan datang, iaitu Oktober ini supaya negara kita bila cakap mengenai tadbir urus, akauntabiliti dan ‘transparency’ (ketelusan)… entiti prosesnya memang ada, bukan hanya cakap kosong,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai mekanisme dalam kerangka Ombudsman Malaysia, Azalina berkata antara peranan utama Ombudsman Malaysia adalah mengambil alih Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

“Peranan kita pertama adalah untuk ambil alih BPA dan SIAP, jadi kita gabungkan kedua-dua agensi ini.

“Kedua, kita melihat kepada salah tadbir dan ketiga, melihat kepada salah laku pegawai penguat kuasa.

“Paling penting ialah kita ambil alih peranan untuk laksanakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat atau Whistleblower dan Akta Kebebasan Maklumat. Jadi melalui Ombudsman Malaysia kita laksanakan tugas pelbagai yang dijalankan BPA sebelum ini,” katanya.