Van Dijk punca Kerkez ‘lemau’

LIVERPOOL: Legenda Liverpool, Steve Nicol menganggap bahawa prestasi Virgil van Dijk yang lemah pada aksi Perisai Komuniti memberi kesan kepada persembahan Milos Kerkez.

Kerkez tampil melakar debut namun gagal menunjukkan prestasi yang terbaik – ia bukanlah mengejutkan memandangkan dia kurang mendapat minit permainan sebelum ini.

Crystal Palace kerap menyerang dari sebelah kiri Liverpool dan Nicol percaya sebahagian besar masalah itu berpunca daripada prestasi hambar Van Dijk di posisi pertahanan tengah kiri yang menyebabkan dia tidak dapat memberi tumpuan membantu rakan sepasukan baharunya.

Nicol berkata ‘saya rasa sebahagian daripada masalah adalah kerana Van Dijk sedang bergelut, jadi dia lebih fokus kepada tugasnya sendiri berbanding apa yang sepatutnya dia lakukan – iaitu membimbing Kerkez, sama ada perlu merapatkan atau melonggarkan posisi bergantung pada situasi.’

“Jika tiada komunikasi antara Kerkez dan Van Dijk, memang sukar untuk menyalahkan Kerkez sepenuhnya kerana dia belum biasa dengan kedudukan dan sistem pertahanan berempat itu.”

Nicol menambah ‘bagi saya, banyak kesalahan itu berpunca daripada Van Dijk. Untuk gol kedua, bila kamu bermain dalam keadaan seperti yang dia tunjukkan pada perlawanan ini, kamu tak nampak situasi dengan jelas.

“Apabila kamu sendiri kabur, memang sukar untuk membantu pemain lain pada masa yang sama.

“Kerkez perlukan masa untuk memahami situasi yang tepat untuk mengendalikan jarak dengan pemain lawan.

“Satu-satunya cara untuk mencapai tahap itu adalah menerusi perlawanan sebenar atau latihan.” -AGENSI