WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan pertemuannya dengan ketua pembuat cip AS, Intel sebagai “sangat menarik”, hanya beberapa hari selepas menggesa beliau meletakkan jawatan.
Menerusi platform Truth Social miliknya hari ini, Trump menyatakan pertemuannya dengan Lip-Bu Tan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, yang turut disertai Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick dan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent.
“Pertemuan itu sangat menarik,” kata Trump dalam hantaran berkenaan.
“Kejayaan dan perjalanan hidupnya adalah satu kisah yang menakjubkan,” sambil menambah bahawa anggota kabinetnya akan meluangkan masa bersama Tan dan membawa kepadanya “cadangan” minggu depan.
“Encik Tan berpeluang bertemu Presiden Trump untuk perbincangan yang jujur dan membina mengenai komitmen Intel memperkukuh kepimpinan teknologi dan pembuatan AS,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang disiarkan kemudian.

Intel menambah mereka “berharap untuk bekerjasama rapat” dengan Trump dan pentadbirannya dalam usaha mengembalikan kegemilangan syarikat Amerika.
Minggu lalu, Trump menggesa CEO baharu Intel itu meletakkan jawatan serta-merta selepas seorang senator Republikan menyuarakan kebimbangan keselamatan negara mengenai kaitannya dengan firma di China.
“CEO INTEL mempunyai KONFLIK kepentingan yang besar dan mesti meletakkan jawatan segera. Tiada penyelesaian lain bagi masalah ini,” kata Trump di Truth Social Khamis lalu.
Tan pada ketika itu mengeluarkan kenyataan bahawa syarikatnya sedang bekerjasama dengan pentadbiran Trump untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan dan memastikan pegawai “mendapatkan fakta yang sebenar.”
Intel salah satu syarikat ikonik di Lembah Silicon, tetapi kedudukannya telah dilemahkan oleh gergasi Asia seperti TSMC dan Samsung yang menguasai pasaran pembuatan cip secara kontrak.
Dalam kenyataannya, Tan berkata “terdapat banyak maklumat yang tidak tepat” mengenai peranan lampau beliau di Walden International dan Cadence Design Systems.
“Saya sentiasa beroperasi mengikut piawaian undang-undang dan etika tertinggi,” kata Tan.
Veteran industri teknologi kelahiran Malaysia itu mengambil alih teraju Intel yang bergelut Mac lalu, dengan mengumumkan pemberhentian pekerja ketika tarif dan sekatan eksport Rumah Putih, menjejaskan pasaran.
Kepakaran utama Intel adalah dalam pengeluaran cip untuk proses pengkomputeran tradisional, yang kini semakin diketepikan oleh gelombang revolusi kecerdasan buatan (AI).

