BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum digilis kenderaan berat di Kilometer 4.8 Jambatan Pulau Pinang arah Perai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa berusia 65 tahun itu dalam perjalanan dari Georgetown menuju ke Butterworth.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan lain di lokasi kejadian menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis kenderaan berat.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, saksi awam yang melihat kejadian atau mempunyai rakaman dashcam tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Saravanan di talian 016 452 5105 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihak bomba mengambil masa hampir 40 minit membersihkan sisa kemalangan tersebut.
“Kita menerima panggilan pada jam 2.28 petang bagi bantuan mencuci jalan di lokasi kejadian dan seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerahkan bersama sebuah jentera FRT serta EMRS.
“Tindakan pembersihan dijalankan sehingga selesai dan operasi ditamatkan pada jam 3.51 petang,” katanya. – MalaysiaGazette

