KUALA LUMPUR: Arsenal boleh dikatakan memiliki semua ramuan untuk bergelar juara di Liga Perdana Inggeris (EPL) – jurulatih yang bijak, pemain berkualiti, kreatif, dinamik di setiap posisi – tetapi apa yang mengecewakan, kemarau mereka terus berpanjangan.
Selepas tiga kali berturut-turut menamatkan saingan di tangga kedua termasuk musim lalu, Arsenal di bawah kendalian Mikel Arteta kini memasuki musim baharu dengan satu matlamat yang jelas – menamatkan penantian 21 tahun bagi menjulang trofi EPL.
Dengan pelaburan besar yang sudah dibuat selama bertahun-tahun, musim 2025/2026 dilihat oleh ramai pihak sebagai kempen ‘buat atau mati’ bagi pengendali dari Sepanyol bagi menjulang trofi paling didambakan – EPL.
Jika diperhatikan, musim 2024/25 sepatutnya menjadi musim Arsenal dengan kelab dari London itu ‘mencanak’ di awal saingan sebelum cabaran mereka kendur di penghujung saingan.
Beberapa faktor kritikal dilihat menjadi punca antaranya ketidakstabilan prestasi saat akhir, konsistensi Liverpool, tekanan jadual pertandingan selain masalah kecederaan pemain.PlayNextMute
Setakat ini, Arsenal sudah memperoleh enam muka baharu termasuk pemain yang didambakan Arteta sebelum ini, Martin Zubimendi dan Viktor Gyokeres selain Noni Madueke, Cristhian Mosquera, Christian Norgaard dan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga yang dilihat mampu ‘mengisi’ kekurangan Gunner sebelum ini.

Personaliti TV Sukan yang juga peminat tegar Arsenal, Hazreen Mubarak yang sentiasa mengikuti jatuh bangun kelab itu, berkata musim 2025/2026 adalah tempoh terbaik buat Arteta membuktikan ‘magisnya’.
“Selepas tiga kali muncul naib juara, ini bukan lagi soal waktu terbaik, tetapi satu kewajipan buat Mikel Arteta untuk menamatkan penantian piala utama. Sudah lebih tiga tahun kita tanpa sebarang trofi besar, selain Piala FA atau Perisai Komuniti sebelum ini.
“Dengan kemasukan pemain baharu seperti Viktor Gyokeres, Kepa Arrizabalaga, dan Noni Madueke, Arteta tidak lagi boleh memberi alasan. Ini adalah pasukan acuannya sendiri, bukan lagi pasukan yang dibina daripada saki-baki skuad pengendali terdahulu.
“Inilah pasukan sebenar yang membawa nama dan falsafah Arteta sepenuhnya.
“Secara peribadi, saya tidak kisah trofi apa yang dimenangi, asalkan ada yang dijulang. Namun, jika diberi pilihan antara EPL dan Liga Juara-Juara, saya fikir EPL adalah sasaran yang lebih realistik untuk digapai. Rekod sebelum ini membuktikan kita mampu bersaing dan boleh menang.
“Masalah terbesar yang menghantui kami adalah ‘Arsenal Voodoo’ di penghujung musim. Apabila tiba di fasa genting, pasukan seolah-olah hilang punca, seri atau tewas dalam perlawanan yang di atas kertas sepatutnya dimenangi. Harapan terbesar saya ialah Arteta dapat merawat ‘penyakit’ ini.
“Jika itu berjaya diatasi, tiada apa yang mustahil,” kata Hazreen yang berbangga pasukan pilihannya itu turut diminati Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang jelas menunjukkan kekuatan pengaruh dimiliki kelab itu.

