Alkohol tercemar ragut 13 nyawa di Kuwait – Kementerian Kesihatan

KUWAIT: Alkohol tercemar menyebabkan 13 individu di Kuwait maut beberapa hari kebelakangan ini, manakala puluhan lagi memerlukan rawatan perubatan segera, mata Kementerian Kesihatan negara itu.

“Hospital merawat 63 kes keracunan alkohol akibat minuman yang dicemari metanol sejak Sabtu lalu,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kerajaan Kuwait mengharamkan import alkohol pada 1964, dan penggunaannya adalah satu bentuk jenayah sejak 1980-an.

Menurut Kementerian Kesihatan, keracunan alkohol yang jarang berlaku itu mengakibatkan 21 kes buta dan gangguan penglihatan manakala 51 kes memerlukan dialisis segera, serta 31 kes lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Semua pesakit adalah dalam kalangan pekerja asing dari serata Asia yang sedang bekerja di Kuwait.

Sebahagian besar penduduk Kuwait terdiri daripada pekerja asing dari Asia Selatan, kebanyakannya bekerja dalam sektor pembinaan, perkhidmatan domestik, dan runcit.

Sementara itu satu laporan lain menyebut 10 pekerja ekspatriat maut di Gabenor Ahmadi, dan ramai lagi mangsa sedang dirawat di Hospital Adan dan Farwaniya.

Media tempatan melaporkan, sebahagian daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, dan beberapa orang dipercayai telah kehilangan penglihatan.

Mangsa dipercayai meminum alkohol buatan tempatan yang dibeli daripada sumber yang sama, tetapi di lokasi berbeza dan Arab Times melaporkan minuman keras itu dibeli di Al Shuyoukh Blok 4.

Arab Times juga melaporkan, pada Mei lalu, dua pekerja asing ditemui mati di atas bumbung sebuah bangunan di kawasan Khaitan.

Laporan forensik ketika itu menyimpulkan mereka berkemungkinan besar meninggal dunia akibat keracunan alkohol.

Metanol adalah sejenis alkohol beracun yang digunakan dalam produk industri seperti cecair antibeku, pelarut serta bahan api dan ia boleh menyebabkan keracunan serius jika diminum walaupun dalam kuantiti kecil.

Tidak seperti etanol yang terdapat dalam minuman beralkohol, metanol tidak selamat untuk dimakan manusia.

Antara gejala keracunan termasuk sakit kepala, muntah, penglihatan kabur, sawan, dan dalam kes yang teruk, koma atau kematian.

Pihak berkuasa kesihatan Kuwait sebelum ini memberi amaran bahawa minuman beralkohol yang dihasilkan secara haram mungkin mengandungi paras metanol berbahaya akibat proses penyulingan yang tidak selamat.

Kes seumpama itu di pelbagai negara pada masa lalu telah mengakibatkan banyak kematian dan kecacatan buta kekal.

Kuwait juga begitu tegas melarang pengeluaran, penjualan, dan penggunaan minuman beralkohol, dan pasukan keselamatan mempergiatkan usaha dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk membanteras penyeludupan serta membongkar operasi pembuatan arak haram. – AGENSI