Pemuda pakai kimono sukarela kutip sampah di Kota Bharu

KOTA BHARU: Seorang pemuda sanggup berkorban masa dan tenaga apabila menjadi sukarelawan mengutip sampah di kawasan pelancongan di sekitar bandar ini termasuk di Jalan Istana, Gelanggang Seni dan Lembah Sireh.

Aktiviti itu dilakukan bagi memastikan kawasan yang dikunjungi orang ramai termasuk pelancong sentiasa bersih.

Dengan memakai baju kimono, Nik Ahmad Kasyfi Nik Zamani, 30, turut membawa bakul yang diletakkan di bahagian belakang dan kayu penyepit untuk memudahkannya mengambil sampah termasuk di dalam longkang, kawasan semak dan di tepi jalan.

Katanya, dia secara sukarela mengutip sampah di kawasan tumpuan pelancong untuk memastikan ia sentiasa bersih dan menjadikan Jepun sebagai inspirasi untuk terus menjaga kebersihan negeri ini.

Nik Ahmad Kasyfi Nik Zamani menggunakan kayu penyepit untuk mengutip sampah sekitar bandar Kota Bharu. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Nik Ahmad Kasyfi Nik Zamani menggunakan kayu penyepit untuk mengutip sampah sekitar bandar Kota Bharu. – Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Katanya, kegiatan itu dilakukan sejak 2013 lagi iaitu 12 tahun yang lalu secara bersendirian untuk memenuhi masa lapangnya.

“Namun, sejak setahun lalu aktiviti ini semakin mendapat perhatian kerana saya juga membuat siaran langsung di TikTok.

“Siaran langsung berkenaan mengajak orang ramai supaya sama-sama melakukan aktiviti itu bagi menjaga kebersihan di sekitar kita termasuk di pusat pelancongan,” katanya ketika ditemui di Lembah Sireh, di sini.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, di media sosial termasuk TikTok, sudah banyak kandungan berunsur hiburan semata-mata.

Katanya, dia mahu memberi hiburan kepada orang ramai yang menonton siaran langsung dengan melakukan sedikit amal kebajikan dengan mengutip sampah di tempat awam.

“Saya juga turut berinteraksi dengan penonton dalam loghat Kelantan dan bahasa Jepun yang dipelajari melalui siaran YouTube dan video.

“Alhamdulillah, ramai yang memberi reaksi positif dan menyokong usaha saya untuk meneruskan kerja sukarela ini. Saya juga ingin mengajak orang ramai terutama rakyat Kelantan supaya sama-sama menjaga kebersihan,” katanya.

Menurutnya, walaupun aktiviti itu tidak menjana pendapatan, namun ia memberi kepuasan kerana dapat memberi khidmat kepada masyarakat dan negeri tercinta secara sukarela.

Dia bersyukur kerana aktiviti itu turut membuka mata orang ramai untuk sama-sama melakukannya.

Nik Ahmad Kasyfi Nik Zamani, 30, berpakaian baju kimono menjadi sukarelawan mengutip sampah di kawasan sekitar bandar Kota Bharu dan merekodkan aktiviti melalui TikTok. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nik Ahmad Kasyfi Nik Zamani, 30, berpakaian baju kimono menjadi sukarelawan mengutip sampah di kawasan sekitar bandar Kota Bharu dan merekodkan aktiviti melalui TikTok. – Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR