Amaran YDP Agong mengenai ‘keranda terbang’: Antara perolehan Black Hawk, Skyhawk dan pesawat terpakai Kuwait

BARU-BARU ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyuarakan ingatan tegas kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dalam perolehan aset ketenteraan, khususnya membabitkan pembelian pesawat terpakai yang berisiko membahayakan nyawa juruterbang dan anggota tentera.

Baginda membangkitkan mengenai perjanjian pembelian pesawat pejuang A-4 Skyhawk dengan kos tinggi pada 1982 untuk dijadikan sebagai iktibar supaya insiden ‘keranda terbang’ tidak sekali lagi berulang, sambil menitahkan MINDEF membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang sudah berusia lebih 30 tahun.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara ‘second-hand’ (terpakai). Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’?” titah baginda sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing di Johor.

Mengimbas pembelian A-4 Skyhawk, Malaysia membuat perolehan 88 pesawat tempur ringan buatan Amerika Syarikat (AS) itu di bawah Program Istimewa Angkatan Tentera (PERISTA) pada 1982, bertujuan memperkasa keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sultan Ibrahim menitahkan MINDEF membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang sudah berusia lebih 30 tahun. - Foto AGENSI
Sultan Ibrahim menitahkan MINDEF membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang sudah berusia lebih 30 tahun. – Foto AGENSI

Perolehan pesawat yang dikeluarkan pada 1950-an dan digunakan ketika Perang Vietnam itu pada mulanya dilihat sebagai efektif dari segi kos dalam usaha memodenkan TUDM dan penyelesaian praktikal bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan udara negara.

Pesawat berkenaan adalah lebihan dalam simpanan AS. Ia diubahsuai kepada A-4 PTM (satu tempat duduk) dan TA-4PTM (dua tempat duduk).

Sebanyak 40 A-4 PTM dihantar kepada Malaysia merangkumi 34 A-4 PTM dan enam TA-4 PTM, manakala selebihnya berada di AS sebagai simpanan.

Dikeluarkan oleh Douglas Aircraft Company dan kemudian oleh McDonnell Douglas, A-4 Skyhawk adalah pesawat tempur yang boleh beroperasi dari kapal pengangkut.

Ia dibangunkan untuk Tentera Laut AS dan Kor Marin negara itu. Pada asalnya, pesawat ini diberi nama A4D di bawah sistem penamaan Tentera Laut AS sebelum 1962.

Skyhawk adalah pesawat ringan dengan berat maksimum ketika berlepas adalah 11,100 kilogram (kg) dan mempunyai kelajuan maksimum melebihi 1,080 kilometer sejam (km/j).

Pesawat ini direka mengikut reka bentuk konvensional selepas Perang Dunia Kedua, dengan sayap delta yang dipasang rendah, gear pendaratan jenis ‘tricycle’ dan satu enjin turbojet yang terletak di bahagian belakang fiuslaj, dengan dua salur udara di sisi badan pesawat.

Yang di-Pertuan Agong yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK), Sultan Ibrahim berkenan bertitah pada Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Padang Kawad Markas Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, kelmarin. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK), Sultan Ibrahim berkenan bertitah pada Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Padang Kawad Markas Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, kelmarin. – Foto BERNAMA

Bahagian ekor pesawat direka dalam bentuk ‘cruciform’, dengan penstabil mendatar dipasang di bahagian atas badan pesawat.

Persenjataannya terdiri dua meriam Colt Mk 12 berkaliber 20 milimeter (mm), satu di setiap pangkal sayap, dengan 100 butir peluru bagi setiap meriam (varian A-4M Skyhawk II mempunyai 200 butir peluru bagi setiap meriam), serta pelbagai jenis bom, roket dan peluru berpandu yang dibawa pada satu titik cantuman di bawah garisan tengah badan pesawat dan beberapa titik cantuman di bawah setiap sayap.

Walaupun kos perolehan bagi setiap Skyhawk kurang daripada AS$1 juta ketika itu, namun kos membaik pulih pesawat kemudian meningkat, merangkumi penggantian enjin, avionik dan komponen struktur, yang dilaporkan berganda daripada kos perolehan.

Insiden, kemalangan babitkan Skyhawk

Apa yang lebih malang, pesawat ini berdepan pelbagai insiden dan kemalangan, dengan ada antaranya sehingga menyebabkan kematian juruterbang.

Insiden pertama berlaku pada 24 September 1985 selepas sebuah pesawat A-4PTM Skyhawk mengalami kemalangan akibat masalah enjin ketika pendaratan di Pangkalan Udara TUDM Kuantan.

Juruterbang, Leftenan Udara Khairil Asri berjaya melenting keluar menggunakan kerusi anjal dengan selamat dan tiada kematian dilaporkan dalam insiden itu.

Pada 23 Jun 1988, pesawat A-4PTM yang dipandu Leftenan Wahi Anuar Mat Amin hilang ketika dalam perjalanan ke Labuan, dilaporkan terbang alam keadaan cuaca buruk pada kedudukan 290 batu nautika dari Kuantan.

Pesawat dan jenazah Wahi tidak ditemukan sehingga pada 1996, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau meninggal dunia secara rasmi.

Berikutan kadar kemalangan tinggi, kos penyelenggaraan yang semakin meningkat dan teknologi yang semakin lapuk, pesawat A-4 Skyhawk dihentikan perkhidmatannya pada 1995 selepas TUDM menerima pesawat BAE Hawk 108 dan Hawk 208 untuk peranan serangan darat.

Pesawat A-4 Skyhawk dihentikan perkhidmatannya pada 1995. - Foto ihsan skyhawk.org
Pesawat A-4 Skyhawk dihentikan perkhidmatannya pada 1995. – Foto ihsan skyhawk.org
MINDEF menegaskan pembelian aset terpakai dari negara lain adalah amalan biasa dalam sektor pertahanan, dan bukannya sesuatu yang janggal atau memudaratkan. - Foto ihsan skyhawk.org
MINDEF menegaskan pembelian aset terpakai dari negara lain adalah amalan biasa dalam sektor pertahanan, dan bukannya sesuatu yang janggal atau memudaratkan. – Foto ihsan skyhawk.org

Selain Black Hawk, ATM juga dilapor dalam proses rundingan untuk perolehan pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF), dengan TUDM dijangka boleh menerima pesawat terpakai itu pada 2027 secara berperingkat.

Keputusan membeli pesawat itu seperti dimaklumkan MINDEF untuk mengisi sementara keperluan TUDM susulan beberapa aset udara yang akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa terdekat.

MINDEF memaklumkan perolehan ini wajar jika dilihat pesawat hanya merekodkan antara 2,000 hingga ke 3,000 jam waktu penerbangan daripada 6,000 hingga 7,000 jam waktu penerbangan maksimum.

MINDEF menegaskan pembelian aset terpakai dari negara lain adalah amalan biasa dalam sektor pertahanan, dan bukannya sesuatu yang janggal atau memudaratkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilapor berkata negara lain termasuk Indonesia dan Thailand juga pernah melakukan tindakan sama dengan membeli aset terpakai membabitkan pesawat dan kenderaan tempur dari negara luar.

Beliau juga berkata secara asasnya perolehan itu adalah bagi tujuan ‘gap filler’ (langkah sementara sebelum pembelian pesawat baharu) bagi memenuhi keperluan TUDM.

Skyhawk adalah pesawat ringan dengan berat maksimum ketika berlepas adalah 11,100kg dan mempunyai kelajuan maksimum melebihi 1,080km/j. - Foto ihsan skyhawk.org
Skyhawk adalah pesawat ringan dengan berat maksimum ketika berlepas adalah 11,100kg dan mempunyai kelajuan maksimum melebihi 1,080km/j. – Foto ihsan skyhawk.org