BATU KAWAN: Kemenangan sulung Imigresen FC musim ini hadir pada pentas Piala FA apabila mereka menundukkan Terengganu FC (TFC) 2-1 di Stadium Negeri Pulau Pinang, sekali gus memberi suntikan keyakinan kepada skuad kendalian Yusri Che Lah.
Biarpun kejayaan itu tidak menjamin laluan mudah menjelang aksi timbal balik di Kuala Terengganu bulan depan, Yusri menegaskan ia hadir pada saat pasukan baharu Liga Super itu amat memerlukan tonik selepas permulaan hambar dalam saingan liga.
“Syukur Alhamdulillah, walaupun kami menempuh jalan yang sukar, tetapi sekurang-kurangnya kami meraih kemenangan pertama musim ini. Walaupun ia bukan dalam Liga Super, biarlah kegembiraan ini menjadi keyakinan kepada pemain,” katanya selepas perlawanan.
Imigresen bermula garang dalam 20 minit pertama, namun gagal mengekalkan dominasi sehingga memberi ruang kepada TFC mencipta beberapa peluang, termasuk dua jaringan yang dibatalkan pengadil sebelum Yan Mabella memecah kebuntuan pada minit ke-50.
Keadaan itu memaksa Yusri melakukan perubahan taktikal dan hasilnya tuan rumah bangkit pantas menerusi sepakan Rafael Holstein pada minit ke-54, sekali gus menghidupkan kembali semangat pasukan Mighty Tigers.
Aksi bertambah rancak di hujung permainan sebelum Joao Pedro muncul wira dengan jaringan kemenangan dramatik pada minit ke-90+1, yang disambut sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.
“Kami akan menempuh satu lagi perlawanan di gelanggang lawan. Saya fikir Terengganu akan datang dengan corak menyerang, jadi kami perlu mencongak keadaan itu,” tegas Yusri yang mengakui tugas sebenar masih menanti di Kuala Terengganu.
Sementara itu, pengendali TFC, Badrul Afzan Razali tidak berselindung dengan rasa kecewanya terhadap sikap anak buahnya yang dianggap terlalu selesa selepas mendahului.
“Kami terlalu mengambil mudah, menyebabkan kami hilang fokus. Kami hilang tumpuan terutama apabila memasuki babak kedua perlawanan hingga dihukum pada minit terakhir,” katanya.
Bagi Imigresen, kemenangan itu bukan sahaja memberi kelebihan agregat menjelang aksi timbal balik, tetapi juga sebagai pemangkin semangat untuk terus menyesuaikan diri dengan cabaran Liga Super musim pertama mereka.

