Messi mungkin terlepas aksi suku akhir Piala Liga

FORT LAUDERDALE, Amerika Syarikat: Lionel Messi berdepan ujian kecergasan untuk diturunkan bersama Inter Miami pada suku akhir Piala Liga menentang kelab Mexico, Tigres UANL awal pagi esok, menurut ketua jurulatih Javier Mascherano.

Bintang Argentina itu, yang bergelut dengan masalah otot sejak awal Ogos, berlatih secara berasingan daripada rakan sepasukan semalam ketika mereka membuat persiapan menentang Tigres.

Messi, 38, kembali beraksi bersama Miami Sabtu lalu selepas berehat dua minggu, malah sempat menjaringkan gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menang 3-1 ke atas Los Angeles Galaxy.

Namun, pemenang Piala Dunia itu kelihatan tidak selesa secara fizikal sepanjang babak kedua, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai tahap kecergasannya dalam kempen Piala Liga – kejohanan kelab rentas sempadan antara Major League Soccer (MLS) dan Liga MX Mexico.

Mascherano mengakui semalam status Messi bagi aksi menentang Tigres masih belum pasti, tetapi enggan menolak kemungkinan dia diturunkan.

“Leo tidak berlatih bersama pasukan; dia berlatih secara berasingan,” kata Mascherano pada sidang media di Fort Lauderdale.

“Dia berasa tidak selesa sepanjang 45 minit Sabtu lalu. Kami akan lihat keadaannya sepanjang hari ini dan esok, tetapi dia belum disahkan terlepas perlawanan,” katanya.

“Saya tidak boleh sahkan hari ini sama ada dia akan bermain atau tidak, kerana semuanya bergantung kepada bagaimana perasaannya.”

Ketiadaan Messi bakal menjadi tamparan hebat buat harapan Miami untuk merangkul semula kejuaraan Piala Liga yang mereka menangi pada tahun 2023, musim sulung penuh bintang Argentina itu di MLS.

Mascherano turut mengingatkan Miami akan berdepan cabaran getir menentang Tigres, juara Mexico lapan kali, yang digambarkannya sebagai “pasukan dengan kekuatan serangan yang hebat.” – AFP