Wujud keperluan gubal akta bendung buli

Hari ini menjadi detik penting bagi sejarah kehakiman negara apabila lima remaja perempuan berusia bawah 18 tahun didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah atas tuduhan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025).

Kesalahan dikaitkan dengan seksyen ini adalah menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi mengancam, kesat atau menghina, termasuk apa yang bersangkutan dengan perbuatan membuli. Pertuduhan terhadap lima kanak-kanak bawah umur terbabit adalah susulan kematian seorang pelajar sekolah berasrama di Sabah, Zara Qairina Mahathir, 13, pada 17 Julai lalu.

Kematian Zara Qairina menjadi antara kes mencuri tumpuan umum kerana membabitkan perbuatan buli. Jika menyorot kes buli pernah dilaporkan sebelum ini, sukar untuk disangkal ia antara kes terus berulang, terutama di sekolah berasrama sehingga menimbulkan persoalan besar tidak adakah undang-undang dapat membendung jenayah ini.

Foto hiasan
Foto hiasan

Pada masa ini, Malaysia masih belum mempunyai akta khusus berkaitan kesalahan membuli. Kes buli sering dikendalikan mengikut pelbagai peruntukan dalam Kanun Keseksaan seperti Seksyen 323 (mencederakan), Seksyen 506 (ugutan jenayah), Seksyen 507C atau Seksyen 509 (menghina kesopanan).

Apa yang membimbangkan ialah apabila perbuatan buli membawa kepada kematian, barulah disiasat sama ada mengikut Seksyen 304, iaitu membunuh tanpa niat atau membunuh dengan niat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, apabila ia membabitkan pelaku dan mangsa dalam kalangan kanak-kanak atau remaja berusia 18 tahun ke bawah, ia akan menimbulkan konflik kerana golongan ini tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 atau Akta 611, satu set undang-undang untuk melindungi, menjaga dan memulihkan hak kanak-kanak. Tiada akta khusus dapat digunakan bagi ‘merungkai’ kes buli membabitkan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun walaupun menyebabkan kematian.

Dilema dan polemik ini ternyata menjadi hambatan dalam usaha membendung perlakuan buli dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, pengalaman dalam kes Zara Qairina ini harus menyedarkan kita dan membuka mata kerajaan serta pihak berkepentingan mengenai keperluan mendesak mewujudkan akta bagi mencegah buli.

Hari ini, ada suara menuntut dan mendesak sudah sampai masa kerajaan menggubal rang undang-undang (RUU) antibuli yang menyeluruh dan holistik. Akta ini perlu merangkumi definisi jelas mengenai perlakuan buli, termasuk buli fizikal, mental, emosi dan siber serta menetapkan tahap kesalahan dan hukuman bersesuaian.

Paling penting, ia harus menjelaskan tanggungjawab institusi seperti sekolah, universiti dan tempat kerja bagi mencegah dan menangani buli. Mungkin Malaysia boleh mencontohi beberapa negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang sudah menggubal undang-undang khas menangani buli di sekolah.

Andai menjadi realiti, aspek pendidikan, pencegahan dan pemulihan perlu mendasari undang-undang ini bagi menjamin keadilan kepada mangsa serta pelaku. Kita harus mempunyai undang-undang yang menjadi manifestasi bahawa negara ini komited melindungi remaja dan kanak-kanak daripada perlakuan yang sering dianggap remeh, tetapi sangat merosakkan.