KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita tiga bas henti-henti dalam Ops Harian di sekitar pusat bandar, Ahad lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata kenderaan berkenaan didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sejak April dan Jun lalu.
Selain itu, Sijil Pemeriksaan PUSPAKOM juga tamat tempoh sejak Mei dan Jun lalu.
“Semua bas berkenaan dipandu warga tempatan dan tindakan penguatkuasaan sudah diambil dengan saman dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan berkaitan.
“Kami memandang serius terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan, terutamanya membabitkan kenderaan awam yang membawa penumpang pelancong dan warga kota,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya terus memperkukuh penguatkuasaan harian melalui Ops Harian yang dilaksanakan di kawasan tumpuan pelancong sekitar pusat bandar bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa terpelihara.
Penguatkuasaan itu sebahagian daripada komitmen berterusan JPJ dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan integriti sistem pengangkutan awam sentiasa terpelihara.
“Orang awam digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui saluran rasmi seperti aplikasi Aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta butiran aduan lengkap.
“JPJ WPKL komited dalam memastikan setiap kenderaan di jalan raya mematuhi undang-undang demi keselamatan semua,” katanya.

