1,482 aduan melalui Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

KUALA LUMPUR: Agensi penguat kuasa menerima 1,482 aduan melalui Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi tempoh 2020 hingga 2024, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Untuk itu, beliau menegaskan kerajaan komited dalam memastikan agensi penguatkuasaan melaksanakan siasatan dan mengambil tindakan susulan berdasarkan maklumat diberikan pemberi maklumat tanpa perlu mendedahkan identiti atau maklumat peribadi mereka.

“Kerajaan terikat untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat khusus termasuk contoh kes membabitkan pemberi maklumat bagi memastikan prinsip perlindungan kerahsiaan dapat dikekalkan sepenuhnya sebagaimana digariskan oleh undang-undang.

“Agensi penguatkuasaan yang melaksanakan siasatan di bawah Akta 711 diwajibkan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan kerahsiaan maklumat sentiasa terpelihara.

“Setiap proses siasatan mesti dijalankan mengikut prosedur ketat bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap pemberi maklumat.

“Di peringkat pelaksanaan pula, kerahsiaan maklumat pemberi maklumat sentiasa dijaga dengan rapi dan hanya pegawai berkaitan sahaja yang boleh mengetahui identiti mereka,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) sejauh mana keberkesanan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) benar-benar melindungi pemberi maklumat.

Mengulas lanjut mengenai Akta 711, Azalina berkata ia digubal khusus bagi memastikan setiap pemberi maklumat yang tampil membuat pendedahan berhubung kelakuan tidak wajar.

Oleh itu, katanya pemberi maklumat sentiasa dilindungi sepenuhnya daripada sebarang tindakan balas, diskriminasi atau ancaman.

“Di bawah Seksyen 8 Akta 711, undang-undang dengan jelas memperuntukkan bahawa identiti serta butiran pemberi maklumat, termasuk segala maklumat yang boleh membawa kepada pengenalpastian mereka, wajib dirahsiakan pada setiap peringkat proses.

“Perlindungan ini merangkumi peringkat siasatan, pelaksanaan tindakan oleh agensi penguatkuasaan dan juga semasa prosiding mahkamah,” katanya.