KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Blues Gang, Mohd Arif Kendut atau lebih dikenali sebagai Ito menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Titiwangsa.
Penyertaan tokoh seni veteran itu dimuktamadkan menerusi penyerahan borang keahlian pada satu majlis yang diadakan di Kings Hotel, Melaka semalam, sempena program retreat hala tuju parti anjuran PKR cabang berkenaan.
Ketua PKR Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata borang keahlian berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi pihak parti.
“Sebagai simbolik kemasukan Ito ke dalam PKR, beliau turut menerima sehelai kemeja Wilayah Persekutuan PKR dalam majlis berkenaan.
“Ito dikenali sebagai seorang reformis yang lantang menyuarakan perubahan sosial menerusi muzik dan seni, dan beliau juga mengambil bahagian dalam program retreat politik dua hari itu bagi mendalami dunia politik secara lebih dekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut yakin penyertaan Ito bukan sahaja akan mengukuhkan lagi cabang Titiwangsa, malah memberi inspirasi kepada komuniti seni untuk turut bersama menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul Iskandar pula berkata, kemasukan Ito ke Cabang Titiwangsa akan menjadi nilai tambah buat PKR dan pemangkin semangat buat golongan seni untuk turut sama mempertahankan Kerajaan MADANI.

