Tiga mata redakan tekanan KL City

GEORGETOWN: Kuala Lumpur City lega akhirnya meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super apabila menundukkan Penang FC 2-1 di Stadium Bandaraya malam tadi.

Pengendali pasukan, Risto Vidakovic menyifatkan tiga mata itu amat penting untuk mengendurkan tekanan ke atas anak buahnya yang berdepan permulaan sukar musim ini.

Menurut jurulatih dari Serbia itu, skuad Warga Kota masih dalam proses pembinaan namun beliau memuji semangat juang pemain yang berjaya bertahan dalam tekanan terutama di hujung perlawanan.

“Jangkaan sangat tinggi, tekanan datang dari pelbagai arah, ia tidak mudah. Tetapi ini baru perlawanan ketiga liga, jadi saya rasa tidak wajar terlalu menekan pemain,” katanya selepas perlawanan.

Safawi Rasid membuka tirai jaringan buat pelawat pada minit ke-34, namun kapten Penang, Stefano Brundo menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung.

Gol kemenangan akhirnya hadir menerusi Kamal Azizi Zabri pada minit ke-77 sekali gus memastikan KL City pulang dengan tiga mata penuh.

Vidakovic berkata beliau sedikit terkilan kerana pasukannya seolah-olah mengendur selepas mendahului, namun tetap berpuas hati kerana pemain berjaya mengekalkan disiplin ketika diasak bertubi-tubi.

Beliau turut menyanjung prestasi Safawi yang kini sudah mencetak dua gol musim ini, menganggap ia satu petanda positif buat penyerang kebangsaan itu untuk kembali menemui sentuhan terbaik.

“Seperti semua pemain baharu, mereka perlukan keyakinan. Gol dan persembahan sebegini akan bantu dia terus meningkat,” jelasnya.

Selain itu, Vidakovic memberi peluang sulung kepada pemain import Sepanyol, Victor Ruiz yang dimasukkan lewat permainan, namun menegaskan pertahanan tengah itu belum mencapai tahap kecergasan penuh selepas lama tidak beraksi secara kompetitif.