PARIS: Kerajaan minoriti Perancis dilihat semakin berisiko digulingkan September ini sekiranya parti gabungan tidak menerima pembentangan belanjawan September ini.
Sekurang-kurangnya tiga parti pembangkang utama menegaskan mereka tidak akan menyokong undi percaya diusulkan Perdana Menteri Perancis, Francois Bayrou pada 8 September ini berhubung rancangannya melaksanakan pemotongan besar dalam belanjawan negara.
Parti sayap kanan ekstrem, National Rally (RN), mendakwa mereka tidak nampak alasan untuk memberikan sokongan.
Sekiranya Bayrou tewas dalam undi percaya di Dewan Negara, wujud kemungkinan kerajaannya akan tumbang.
Jika kerajaan terbabit tumbang, Presiden Emmanuel Macron boleh melantik perdana menteri baharu dengan segera atau meminta Bayrou kekal mengetuai kerajaan sementara atau mengadakan pilihan raya mengejut.
Macron kehilangan perdana menterinya terdahulu, Michel Barnier, selepas kalah dalam undi percaya berhubung belanjawan pada akhir 2024 iaitu hanya tiga bulan selepas dilantik susulan pilihan raya mengejut pada Julai tahun sama.
Bayrou mengakui bahawa cuba mendapatkan kepercayaan daripada Parlimen yang sangat berpecah adalah pertaruhan berisiko.
“Ya, ia berisiko, tetapi lebih berisiko jika tidak melakukan apa-apa,” katanya kepada media, merujuk kepada bahaya besar yang dihadapi negara akibat beban hutang yang tinggi.
Beliau berkata, undi percaya itu akan mengukur sama ada beliau mempunyai sokongan mencukupi di Parlimen untuk melaksanakan langkah penjimatan belanjawan berjumlah 44 bilion euro (RM215 bilion).
Ia adalah antara usaha mengawal defisit yang mencecah 5.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu iaitu hampir dua kali ganda had rasmi Kesatuan Eropah (EU) sebanyak tiga peratus.
Ketua parti RN, Jordan Bardella, berkata Bayrou secara tidak langsung sudah mengumumkan penghujung pemerintahannya dengan memanggil undi keyakinan itu.
“RN tidak akan sesekali mengundi menyokong kerajaan yang membuat rakyat Perancis menderita,” katanya di platform X. – REUTERS

