Nasib berbeza Jun Hao, Jin Wei di Paris

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao lulus ujian pertama apabila melakar kemenangan untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Adidas Arena di Paris, sebentar tadi.

Turun selaku pemain ranking ke-25 dunia, Jun Hao tidak berdepan banyak masalah untuk menumpaskan wakil Switzerland, Tobias Kuenzi yang berada di ranking ke-137 dunia dengan keputusan 21-14, 21-12 dalam tempoh hanya 31 minit.

Kemenangan itu menjadi permulaan positif buat Jun Hao dalam penampilan sulungnya di Kejohanan Dunia.

Selepas ini, pemain berusia 26 tahun itu bakal berdepan cabaran lebih sukar apabila menentang pilihan ke-14 kejohanan dari Jepun, Kenta Nishimoto yang menyingkirkan wakil Taiwan, Wang Tzu Wei, 21-13, 21-12.

Bagaimanapun, kem negara turut menerima perkhabaran duka apabila perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, terkandas di pusingan pertama.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu gagal menandingi kehebatan pemain China di ranking ke-14 dunia, Gao Fang Jie, sebelum akur dengan kekalahan 14-21, 9-21.