Tak puas hati lepas bercerai punca wanita warga asing ditikam

SHAH ALAM: Tidak berpuas hati selepas bercerai dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Indonesia menikam bekas isterinya di Jalan Redan, Kanchong Darat, Banting, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata suspek turut menuduh majikan mangsa menghasut wanita berusia 44 itu untuk tidak rujuk semula.

“Motif kejadian adalah suspek berusia 45 tahun tidak berpuas hati dengan mangsa selepas bercerai.

“Suspek menikam mangsa di bahagian kiri perut dengan sebilah pisau yang dipercayai dibawa lari bersamanya.

“Setakat ini, polis masih memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang wanita warga Indonesia parah selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi.

Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Zon Merah Hospital Banting. Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan dalaman dan dibawa ke bilik pembedahan untuk rawatan lanjut.