Rasuah 11 tahun: Pegawai ‘Top 5’ DBKL antara 3 direman empat hari

PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu, direman empat hari sehingga Jumaat ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata permohonan reman itu dibuat suruhanjaya berkenaan hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Permohonan reman dibuat hari ini dan (perintah) reman sudah diperoleh selama empat hari,” katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan SPRM mengesahkan tiga individu termasuk seorang pegawai Top 5 DBKL ditahan kerana terbabit rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu.

Pegawai kanan yang ditahan dipercayai dalam kalangan pegawai gred Jusa B dan perkara itu disahkan Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin.

Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat ini seramai 15 saksi sudah dikenal pasti untuk diambil keterangan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada saksi lain yang akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan.

BH sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan yang berada dalam kalangan ‘Top 5’ pengurusan DBKL ditahan SPRM.

Difahamkan, penahanan itu mempunyai kaitan dengan perolehan bagi sebuah projek berkaitan teknologi maklumat (IT).