,

Bukit Aman ambil alih siasatan kematian pelatih Palapes

KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil alih siasatan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ia dilakukan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan keluarga Allahyarham Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu untuk menggali semula kubur serta menjalankan bedah siasat kedua.

“PDRM memberikan komitmen sepenuhnyua untuk mematuhi perintah tersebut dan bagi tujuan penyelarasan tindakan, siasatan kes akan diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan jenayah Bukit Aman berkuatkuasa hari ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah supaya kubur Syamsul Haris Shamsudin digali semula.

Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan yang dibuat ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua dijalankan.

Dalam masa yang sama, hakim memerintahkan supaya bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas kubur digali dan jasad Allahyarham dikeluarkan.

Hakim turut memerintahkan supaya laporan bedah siasat disiapkan dalam tempoh  munasabah.

Menurut Kumar, polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip Rule of Laws bagi memastikan keadilan ditegakkan. – MalaysiaGazette