Produk akhir AI mesti miliki identiti, imej Malaysia – PM

SUBANG JAYA – Penghasilan sesuatu produk dan perkhidmatan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) perlu mengikut acuan tempatan serta kepintaran masyarakat berbilang bangsa, agama dan disiplin ilmu di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan produk akhir dihasilkan AI itu memiliki identiti dan imej Malaysia yang mempromosikan patriotisme dalam kalangan masyarakat dunia.

“Apakah AI ini seperti mana teknologi maklumat lainnya? Apa yang kita harapkan? Kerana kepintarannya. Baik. Tapi kepintaran dari mana? Dari apa yang dilontarkan dan dimasukkan kepadanya.

“Yang dia akan muntahkan, luahkan dengan segala kepintaran mengambil semua maklumat yang ada dari maklumat ini yang dimasukkan.

“Sebab itu inovasi kita, bakat kita harus dilatih supaya memasukkan bidang, disiplin yang penting juga bagi kita. Yang dari Amerika ya, dari Rusia ya, dari China ya, tapi dari kita? Dari agama kita, dari budaya kita, dari bahasa kita?

“Enggak ada Pak, kalau tidak ada, dia akan muntahkan apa yang ada,” katanya berucap merasmikan Program CD:NXT Celcom-Digi di Subang Hi-Tech Industrial Park di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

CD:NXT merupakan satu inisiatif utama CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) bertujuan membangunkan barisan pemimpin digital generasi akan datang.

Program strategik itu merupakan satu langkah maju yang berani dalam usaha Malaysia ke arah menjadi ekonomi digital yang dijana 5G-AI.

Anwar juga berkata, CelcomDigi tidak terkecuali untuk memastikan bakat-bakat muda yang dilatih syarikat telekomunikasi itu juga perlu memenuhi keperluan negara.

“Dalam rangka CD:NXT, perkara ini harus difikir bagaimana boleh kita latih talent yang boleh memenuhi keperluan kita. Apa dia keperluan kita? Tentu semua teknologi maklumat.

“Apa yang ada Amerika, China, Eropah, kita harus tahu baik di samping itu kita nak pertahankan juga sikap kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette