Kelar isteri: Mangsa dibenarkan keluar hospital, suami masih dirawat

BAYAN LEPAS: Wanita yang cedera dikelar suami di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, semalam, sudah dibenarkan keluar Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata suspek bagaimanapun masih dirawat di hospital itu.

“Mangsa dibenarkan pulang, hari ini, manakala suaminya sudah sedar dan berada dalam keadaan stabil di hospital berkenaan.

“Bagaimanapun, polis belum mengambil keterangan daripada kedua-duanya (bagi mengetahui punca kejadian),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan insiden sebelum subuh itu membabitkan pasangan guru sebuah sekolah di negeri ini.

Wanita berusia 28 tahun itu cedera dikelar di leher, manakala suaminya berumur 30 tahun pula cedera di leher dan tangan selepas mengelar dirinya menggunakan pisau sama.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.