MIAMI: Bekas bintang tenis Rusia, Anna Kournikova, 44, sedang hamil anak keempat bersama pasangannya, penyanyi Sepanyol terkenal Enrique Iglesias, menurut laporan majalah Hola dari Sepanyol.
Sumber terdekat mendedahkan Kournikova sudah memasuki separuh tempoh kehamilan, dengan perkembangan yang baik setakat ini.
Berita gembira ini hadir beberapa bulan selepas Kournikova menimbulkan kebimbangan peminat apabila dia dilihat berkerusi roda dan memakai but pelindung.
Pasangan ini sudah mempunyai tiga cahaya mata – pasangan kembar Lucy dan Nicholas yang kini berusia 7 tahun, serta seorang lagi anak perempuan, Mary, 5 tahun.
Awal bulan ini, Kournikova membuat kemunculan awam yang jarang berlaku apabila dia dilihat menghantar anak-anaknya ke kelas seni mempertahankan diri di Miami, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap keadaan kesihatannya.
Kournikova bersara daripada tenis pada tahun 2003 dan sudah bersama Iglesias sejak tahun 2001. Mereka mula bercinta selepas bertemu di set penggambaran muzik video lagu popular Iglesias, Escape.
Awal tahun ini, Kournikova mengejutkan ramai apabila dirakam menaiki kerusi roda di pusat beli-belah mewah Bal Harbour, Miami.
Dia juga memakai but ortopedik pada kakinya, menimbulkan spekulasi kecederaan – sesuatu yang memberi kerisauan tambahan memandangkan sejarah kecederaannya ketika bergelar pemain profesional.
Iglesias, 50, menetap di Miami sejak akhir 1990-an, dengan Kournikova berpindah ke sana selepas hubungan mereka semakin serius.
Dalam dunia tenis, Kournikova mula profesional seawal usia 14 tahun dan pernah menduduki ranking kelapan dunia, namun gagal meraih kejuaraan Grand Slam kategori perseorangan.
Bagaimanapun, beliau menikmati kejayaan besar dalam acara beregu bersama Martina Hingis, apabila memenangi Terbuka Australia pada tahun 1999 dan 2002.
Kournikova tidak pernah secara rasmi mengumumkan persaraan, tetapi perlawanan terakhirnya berlangsung pada Mei 2003 ketika usianya baru 21 tahun. – AGENSI

