TEL AVIV: Tentera Israel menegaskan bahawa pemindahan penduduk Bandar Gaza adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan menjelang serangan tentera besar-besaran yang sedang dirancang.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berbahasa Arab, Avichay Adraee, menerusi platform X, yang turut menasihati penduduk bandar itu supaya bersedia untuk meninggalkan kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pasukan Israel sudah meninjau kawasan luas yang kosong di selatan bandar itu bagi membantu penduduk berpindah.
Adraee berkata, penduduk yang dipindahkan akan disediakan khemah dan dibangunkan infrastruktur bagi mengagihkan bantuan serta air.
“Setiap keluarga yang berpindah ke selatan akan menerima bantuan kemanusiaan paling besar, yang sedang diusahakan ketika ini,” jelasnya di X.
Bagaimanapun, kumpulan bantuan memberi amaran bahawa serangan ketenteraan Israel akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Ketika ini sebahagian besar daripada lebih 2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, kejiranan yang musnah dan kebuluran diisytiharkan di Bandar Gaza.
Lebih 80 peratus Gaza ditetapkan sebagai zon ketenteraan Israel atau tertakluk kepada arahan pemindahan, menurut agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Israel meneruskan rancangan untuk menggerakkan puluhan ribu anggota simpanan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pihak tentera akan melancarkan serangan sambil meneruskan usaha gencatan senjata.
Hamas minggu lalu, berkata mereka sudah menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh pengantara Mesir dan Qatar.
Selasa lalu, Qatar berkata Israel masih belum memberi maklum balas rasmi dan nampaknya ‘tidak mahu mencapai persetujuan’.
Minggu lalu, seorang pegawai dari Doha berkata cadangan yang sedang dibincangkan adalah hampir sama dengan deraf terdahulu yang dibentangkan oleh utusan Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dan diterima oleh Israel.

Perjanjian yang dikatakan sedang dibincangkan itu termasuk gencatan senjata selama 60 hari dan pembebasan sebahagian daripada 50 tebusan yang masih ditahan Hamas sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin.
Pada masa sama, bantuan kemanusiaan ke Gaza ditingkatkan dan pembentangan pelan hala tuju ke arah rundingan gencatan senjata yang berkekalan.
Ramai dalam gabungan Netanyahu menentang perjanjian berfasa itu manakala protes di Israel semakin besar apabila keluarga tebusan dan penyokong mendesak supaya gencatan senjata dimuktamadkan segera.
Kerajaan Israel berkata serangan yang diperluaskan adalah cara terbaik untuk membawa pulang tebusan dan melumpuhkan kemampuan Hamas melancarkan serangan pada masa hadapan.
Sementara itu di Washington, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadual bertemu dengan Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, bagi membincangkan Gaza pasca perang, walaupun rundingan gencatan senjata semakin goyah.
Witkoff memberitahu Fox News, bahawa Presiden AS, Donald Trump mempengerusikan mesyuarat berasingan bagi memaparkan ‘pelan komprehensif yang sedang dirangka untuk masa depan Gaza’.

Witkoff turut berkata pendirian rasmi AS adalah bahawa tebusan tidak lagi seharusnya menjadi sebahagian daripada rundingan.
Katanya kepada Fox News, rundingan sebaliknya perlu menumpukan kepada isu-isu termasuk masa depan Gaza dan bagaimana mendefinisikan Hamas dalam konteks berkenaan.
Trump mempengerusikan mesyuarat dasar mengenai perang Israel di Gaza dan rancangan pasca perang untuk wilayah Palestin itu pada Rabu.
Mesyuarat itu disertai bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, dan bekas utusan Trump ke Asia Barat, Jared Kushner, menurut seorang pegawai kanan Rumah Putih.
Trump, pegawai kanan Rumah Putih, Blair dan Kushner membincangkan krisis tebusan, rancangan meningkatkan penghantaran bantuan makanan, pelan pasca perang dan lain-lain, kata pegawai itu kepada Reuters.
Pada Februari lalu, Trump mencadangkan pengambilalihan Gaza oleh AS bagi dibangunkan semula untuk menjadikannya sebagai ‘Riviera Asia Barat’. – AGENSI

