Dua rakyat Malaysia dipercayai mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja

KUALA LUMPUR: Dua lagi rakyat Malaysia dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 34 dan 40 tahun itu dipercayai dibawa ke negara berkenaan oleh ahli sindiket pada April dan Jun lalu.

Ibu seorang mangsa mahu dikenali Low, 67, berkata anak lelakinya memaklumkan ingin ke Filipina untuk bekerja bersama rakan pada April lalu.

“Anak saya yang pernah bekerja sebagai mekanik dan pemandu e-hailing beritahu rakan baru dikenalinya menawarkan pekerjaan di Filipina. Dia kemudian ikut rakannya itu dipercayai menaiki penerbangan pada pertengahan April.

“Namun, bulan lalu dia menghantar mesej kepada saya memberitahu ditipu dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia serta dipaksa bekerja oleh sindiket penipuan dalam talian,” katanya dalam sidang media di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.

Low berkata, anaknya turut memberikan maklumat bahawa seorang ejen menipu dan menghalangnya pulang ke Malaysia sebelum dia tampil membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya itu.

Lelaki ingin dikenali Lee, 45, mendakwa sepupu lelakinya berusia 40 tahun dikurung dan didera sindiket penipuan dalam talian selepas diperdaya mengenai tawaran kerja di Kemboja.

Katanya, dia mengetahui kejadian selepas lelaki itu menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp meminta bantuan pada bulan lalu.

“Semasa panggilan itu, sepupu saya seperti dalam keadaan tergesa-gesa dan ketakutan beritahu sudah ditipu dan dipaksa bekerja. Dia beritahu mahu pulang ke Malaysia dan minta saya menyelamatkannya.

“Selepas itu panggilan dimatikan dan kami hanya dapat bercakap kira-kira 20 saat saja. Sejak itu saya sudah tidak dapat berhubung dengannya lagi,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya pada 29 Ogos lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja untuk menyelamatkan dua rakyat Malaysia terbabit.