Polis Indonesia dakwa perusuh dibayar sehingga Rp200,000

JAKARTA: Polis Indonesia mendedahkan sebahagian peserta rusuhan ganas yang berlangsung di Jakarta dari 25 hingga 31 Ogos lalu, dipercayai diumpan dengan bayaran wang tunai.

Memetik laporan portal berita Kompas, Ketua Bahagian Humas Polda Metro Jaya, Komisioner Besar Ade Ary Syam Indradi berkata, pihaknya kini sedang menyiasat individu atau pihak yang disyaki memberikan imbuhan wang tunai.

Katanya, peserta yang hadir menyertai aksi demonstrasi didakwa dibayar antara Rp62,500 (RM16) hingga Rp200,000 (RM51), termasuk kepada kanak-kanak dan dewasa.

“Ada beberapa pihak yang sedang disiasat kerana dipercayai menawarkan imbuhan wang kepada kanak-kanak dan orang dewasa untuk hadir melakukan tindakan (demonstrasi),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polda Metro Jaya.

Menurut beliau, kes itu telah dinaikkan daripada peringkat penyelidikan kepada peringkat siasatan.

Ia selepas polis memperoleh empat jenis bukti utama, termasuk keterangan daripada 22 saksi, dokumen, petunjuk serta keterangan pakar.

Sebelum ini, polis turut menahan enam individu yang dikenal pasti sebagai pentadbir akaun media sosial yang disyaki menghasut pelajar dan remaja bawah umur untuk melakukan tindakan ‘anarkis’ melalui platform dalam talian.

Protes bermula di ibu kota Jakarta, menyasarkan perbelanjaan kerajaan seperti penambahan elaun untuk Ahli Parlimen, termasuk elaun perumahan hampir 10 kali ganda gaji minimum di ibu negara.

Protes semakin memburuk selepas kematian seorang penunggang Ojek, Affan Kurniawan, 21, akibat dilanggar dan digilis oleh sebuah van taktikal milik unit separa tentera Brimob.

Sementara itu, media Russia mendakwa bahawa aksi demonstrasi ganas yang mencetuskan huru-hara di seluruh Indonesia dibiayai oleh pihak asing.

Seorang anggota tentera Indonesia berdiri di antara kenderaan berperisai yang diletakkan di luar kompleks Monumen Nasional (Monas), di tengah-tengah protes besar-besaran anti-kerajaan dan rusuhan. - Foto REUTERS
Seorang anggota tentera Indonesia berdiri di antara kenderaan berperisai yang diletakkan di luar kompleks Monumen Nasional (Monas), di tengah-tengah protes besar-besaran anti-kerajaan dan rusuhan. – Foto REUTERS

Laporan Sputnik memetik kenyataan penganalisis geopolitik, Angelo Giuliano yang turut menyebut tentang penggunaan bendera One Piece sebelum siri protes itu memuncak.

“Simbol itu jelas menunjukkan adanya pengaruh luar kerana pola serupa juga dilihat di negara lain, walaupun ia menjadi medan untuk rakyat yang hidup susah bersuara. Penggunaan lambang anime Jepun itu bukan satu kebetulan,” katanya.

Difahamkan, bendera Jolly Roger itu adalah simbol perjuangan menentang pemerintah yang zalim.

Giuliano turut menyebut mengenai pertubuhan National Endowment for Democracy (NED) yang membiayai media Indonesia sejak 1990-an serta Open Society Foundations milik dermawan kontroversi, George Soros sebagai antara pihak yang dikaitkan dengan siri tunjuk perasaan itu.

Pendapat sama turut disuarakan oleh pengasas Seek Truth From Facts Foundation, Jeff J Brown.

Menurutnya, apa yang berlaku di Jakarta adalah sama dengan keadaan di Serbia.

“Kumpulan Tujuh (G7) mahukan seorang diktator baharu yang disokong Amerika Syarikat (AS) seperti Suharto.

“Namun, Prabowo tidak akur dengan agenda Washington dan Eropah, sebaliknya Indonesia memperkukuh kerjasama dengan ‘musuh Barat’ seperti China, Russia, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan BRICS,” katanya.

Tambahnya lagi, Indonesia adalah negara Asia Tenggara pertama yang bergabung dengan BRICS, selain secara terbuka bekerjasama dengan Beijing melalui Inisiatif Jalur dan Jalan. – AGENSI