KUALA LUMPUR: Kekecohan di Indonesia tidak seburuk seperti yang digambarkan di platform media sosial dan orang ramai termasuk warga Malaysia yang menetap di republik itu masih boleh melakukan pelbagai urusan harian.
Perkara itu dikongsi Datuk Megat Kamarul Azhar Abas, seorang warga Malaysia yang bekerja di Jakarta, berkata, kekecohan khususnya di Jakarta hanya berlaku di kawasan tertentu sahaja.
Beliau berkata, orang ramai termasuk dirinya masih hadir ke pejabat seperti biasa dan tiada gangguan seteruk seperti digambarkan di media sosial.
Katanya, masyarakat di sini tetap melakukan aktiviti seharian kerana ramai yang sudah terbiasa dengan protes demi protes yang berlaku saban tahun.
“Ya benar protes kali ini adalah besar tetapi di Indonesia, demonstrasi berlaku setiap masa jadi semuanya sudah terbiasa. Kami di sini melakukan aktiviti seperti biasa seperti sebelumnya malah saya dan kakitangan yang lain masuk ke pejabat seperti biasa.PlayNextMute
“Kami hanya perlu mengelak kawasan-kawasan tertentu yang menjadi tumpuan penunjuk perasaan seperti di kawasan Parlimen dan kediaman Ahli Parlimen yang menjadi sasaran. Tetapi sekiranya kami berada di kawasan itu, sudah pasti ia membimbangkan.
“Bagaimanapun, setakat ini masih okay dan ia adalah yang besar tetapi tidak berlarutan sehingga memberi kesan kepada pergerakan semua penduduk,” katanya kepada BH ketika dihubungi, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Megat Kamarul yang sudah bermastautin di Jakarta selama 16 tahun berkata, beliau berharap dan menjangkakan demonstrasi penduduk akan berakhir menjelang hujung minggu ini.
Beliau turut menanam keyakinan, situasi di Indonesia berkemungkinan tidak akan bertukar kepada darurat seperti yang digembar-gemburkan semua pihak.
“Bagaimanapun, memang ada pihak tentera sedang bersiap sedia tetapi ia hanyalah langkah bersama pihak berkuasa lain di setiap ‘checkpoint’ tertentu,” katanya.
Megat Kamarul turut berkata, pihak Kedutaan Malaysia juga sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia.
“Pihak kedutaan memantau situasi yang berlaku dan memaklumkan warga Malaysia di Indonesia dari semasa ke semasa,” katanya.

