KUALA LUMPUR: Hasrat peminat bola sepak tanah air untuk melihat gandingan ‘meletup’ membabitkan Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo ketika aksi menentang Singapura, malam esok mungkin tidak kesampaian apabila Holgado disahkan baru menyertai kem latihan pasukan, pagi tadi.
Jelas pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, kemungkinan besar Holgado yang mempamerkan aksi mengagumkan ketika menewaskan Vietnam 4-0 pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027, 10 Jun lalu tidak akan diturunkan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nanti.
Sebaliknya, penyerang yang terpaksa mengharungi penerbangan jauh selama 30 jam dari Argentina itu mungkin akan hanya dapat disenaraikan dalam aksi persahabatan antarabangsa kedua menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.
“Dia (Holgado) baru tiba awal pagi tadi. Keadaannya akan dipantau pasukan dan kita lihat nanti,” kata Cklamovski dalam sidang media pasukan di SNBJ, di sini, hari ini.
Terdahulu, gandingan meyakinkan dua penyerang warisan baharu, Holgado dan Figueiredo memikat hati penyokong bola sepak negara yang menganggap gandingan mereka sebagai ‘cepumas’ sebenar buat Malaysia.
Peminat di media sosial turut menyamakan kombinasi ini dengan gandingan bertaraf bintang, malah semangat Holgado ketika menyarung jersi negara dipuji apabila sanggup ‘bermandi’ darah selepas kepalanya cedera akibat bertembung dengan pemain Vietnam yang menyaksikan Malaysia menang 4-0, 10 Jun lalu.
Pengorbanan penyerang kelab Colombia, America De Cali itu nyata menyentuh hati peminat yang mahu melihat Holgado terus mengisi posisi dalam kesebelasan utama pasukan negara.

