BALIK PULAU – Kes membabitkan dua kanak-kanak lelaki kembar yang tular selepas didakwa dibiarkan tidur di kaki lima oleh ibu tiri mereka di sebuah flat di daerah Barat Daya di sini, kini dalam siasatan pihak berkuasa.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, siasatan dijalankan oleh polis mengikut bidang kuasa mereka, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menyiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Katanya, segala tindakan lanjut berhubung kes berkenaan akan diputuskan selepas hasil siasatan kedua-dua pihak itu diperoleh.
“Siasatan ini sedang berjalan mengikut skop pihak polis dan JKM. Jadi kita tunggu keputusan penuh sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil.
“Dua kanak-kanak berkenaan juga akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim.
Difahamkan, ibu bapa kandung serta ibu tiri kepada dua kanak-kanak itu turut berada di IPD Barat Daya bagi membantu siasatan polis.
Sementara itu, Siew Khim turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut sehingga mengganggu siasatan pihak berkaitan.
“Biar pihak polis dan JKM jalankan siasatan mereka untuk mengetahui kejadian sebenar.
“Cuma saya nak tekankan di sini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan sebarang isu keselamatan kanak-kanak,” tegasnya.
MalaysiaGazette terdahulu melaporkan seorang ibu menuntut keadilan buat dua anak kembarnya selepas mendakwa mereka dilayan buruk oleh ibu tiri dalam kejadian di sebuah flat di negeri ini
Wana Talia mendakwa, anak kembar berusia lapan tahun itu dipaksa tidur di kaki lima rumah atas alasan ‘buas’ selain disuruh menutup mata ketika makan serta menghabiskan semua makanan. – MalaysiaGazette

