Tuntutan palsu bekalan lembu: Tiga penjawat awam antara yang ditahan SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan lima individu termasuk tiga penjawat awam kerana disyaki bersubahat mengemuka dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh bayaran berkaitan tuntutan bekalan lembu betina daripada sebuah badan berkanun berjumlah kira-kira RM200,000.

Menurut sumber, kelima-lima suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an telah ditangkap berasingan hari ini ketika hadir memberi keterangan di SPRM Segamat antara jam 11 pagi hingga 2 petang.

“Berdasarkan siasatan awal kesemua suspek disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina kepada sebuah badan berkanun di salah satu daerah di negeri Johor yang berjumlah kira-kira RM200,000 sedangkan pembekalan tersebut tidak dilakukan.

“Kesemua suspek yang juga terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Febuari 2023,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, tiga daripada lima suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat esok untuk permohonan reman. –MalaysiaGazette