KL City Gateway nafi tuduhan penduduk Kg. Sungai Baru, pengusiran esok oleh bailif

KUALA LUMPUR – KL City Gateway Sdn. Bhd. (KLCG), pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kampung Baru di sini menafi sekeras-kerasnya dakwaan akan melakukan gangguan kepada penduduk yang enggan keluar dari kawasan tersebut, esok.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Pengarah KLGC, Abdul Hadi Ahmad berkata, proses pengusiran penduduk terlibat esok berlandaskan kepada keputusan mahkamah.

Malah, proses itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh bailif yang dilantik oleh mahkamah, dengan kehadiran wakil undang-undang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan mematuhi proses undang-undang.

Tegasnya, KLCG tidak akan mengambil bahagian dalam, menyokong, atau membenarkan sebarang tindakan di luar sempadan undang-undang.

Pengusiran esok adalah kali kedua dilakukan selepas usaha mengusir baki 14 penduduk di rumah teres kampung tersebut pada 16 Julai lalu gagal.

Menurutnya, KLCG amat kesal dengan dakwaan sensasi yang dibuat oleh penduduk terlibat hingga mencetuskan ketakutan dan kekeliruan yang tidak perlu di kalangan orang ramai.

“KL City Gateway mengecam sekeras-kerasnya sebarang percubaan untuk mengaitkan syarikat dengan tindakan yang menyalahi undang-undang atau untuk mencipta tanggapan palsu bahawa syarikat itu cuba mencetuskan kekacauan.

“Tuduhan ini mencemarkan reputasi dan kredibiliti syarikat dan tidak disokong oleh sebarang bukti sekalipun,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan laporan yang mendakwa penduduk Kampung Sungai Baru menerima pesanan teks yang menawarkan wang jika datang menyamar sebagai jemputan untuk bantahan diadakan oleh mereka.

Bantahan itu dilaporkan akan diadakan ketika proses pengusiran baki 14 penduduk dijalankan pagi esok.

KLCG menegaskan, semua usaha pembangunan semula dijalankan mengikut undang-undang, di bawah pengawasan pihak berkuasa yang berkaitan, dan dengan penuh menghormati hak undang-undang semua pihak berkepentingan.

Abdul Hadi turut mengulangi komitmen KLCG untuk melaksanakan pembangunan semula Kampung Sungai Baru dengan ketelusan, tanggungjawab dan integriti, sambil memastikan hak, keselamatan dan kebajikan semua penduduk yang terjejas dihormati sepanjang proses itu.

Jelas beliau, syarikat ini juga secara konsisten bekerja dalam perundingan rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan penasihat undang-undang untuk menjamin setiap tindakan  diambil adalah adil, sah dan selaras dengan prosedur yang ditetapkan.

Selain itu, KLCG melahirkan harapan ikhlas agar proses pengusiran dapat dijalankan dengan aman dan syarikat komited  untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan, dengan penyelarasan pihak berkuasa untuk memastikan proses itu dijalankan dengan selamat, teratur dan penuh hormat untuk semua pihak.

Dalam pada itu, KLCG meminta  orang ramai, media dan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan sumber maklumat rasmi yang disahkan dan berhati-hati terhadap mesej atau dakwaan tidak disah yang diedarkan di media sosial.

“KL City Gateway kekal terbuka kepada dialog dan akan terus bertindak dengan berhemah untuk menyelesaikan perkara secara baik dan mematuhi undang-undang sepenuhnya.

“Sebarang penyebaran berterusan dakwaan palsu dan berniat jahat ini akan dikenakan tindakan undang-undang kerana KL City Gateway tidak akan bertolak ansur dengan serangan terhadap reputasinya atau percubaan untuk menimbulkan keresahan melalui maklumat yang salah,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette