DOHA – Tentera Israel mengesahkan telah melancarkan serangan udara menyasarkan pemimpin kanan Hamas di ibu negara Qatar pada Selasa.
Qatar, yang menjadi perantara utama dalam usaha mengatur gencatan senjata di Gaza, berkata serangan Israel menyasarkan kediaman beberapa anggota Biro Politik Hamas yang menetap di negara Teluk itu, di mana kepimpinan tertinggi kumpulan berkenaan berpangkalan.
Seorang pegawai Hamas di Gaza memberitahu AFP bahawa perunding kumpulan itu telah “disasarkan” di Doha, bagaimanapun beliau masih belum dapat memastikan sama ada serangan itu mengakibatkan kematian atau kecederaan.
Seorang juruvideo AFP di Doha melihat kepulan asap naik dari belakang sebuah bangunan rendah.
“Selama bertahun-tahun, anggota kepimpinan Hamas ini telah mengetuai operasi organisasi pengganas tersebut, bertanggungjawab secara langsung terhadap pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober (2023), serta merancang dan menguruskan peperangan terhadap Negara Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
“Nama operasi di Doha ialah Summit of Fire. Ia merupakan serangan udara,” kata seorang pegawai tentera Israel kepada AFP.
Qatar mengecam serangan itu, dengan berkata ia menyasarkan bangunan kediaman yang menempatkan anggota Biro Politik Hamas.
“Negara Qatar mengecam sekeras-kerasnya serangan pengecut Israel yang menyasarkan bangunan kediaman yang menempatkan beberapa anggota Biro Politik Hamas di ibu negara Qatar, Doha,” kata jurucakap kementerian luar Majed al-Ansari dalam satu hantaran di X.
Serangan pada Selasa itu merupakan serangan pertama Israel ke atas negara Teluk yang disokong Barat – berlaku kurang dua minggu selepas ketua angkatan tentera Israel berikrar untuk menyasarkan pemimpin Hamas yang berpangkalan di luar negara.
“Kebanyakan kepimpinan Hamas berada di luar negara, dan kami akan sampai kepada mereka juga,” kata Leftenan Jeneral Eyal Zamir pada 31 Ogos lalu.
‘Pelanggaran terang-terangan’
Bersama Amerika Syarikat dan Mesir, Qatar telah mengetuai pelbagai usaha untuk menamatkan perang Israel-Hamas, yang tercetus selepas serangan mengejut pejuang Palestin pada 7 Oktober 2023.
Meskipun berjaya memeterai dua gencatan senjata sementara, rundingan berulang kali gagal menghasilkan penghujung perang yang berkekalan.
“Semoga semua musuhmu binasa, Israel,” tulis Menteri Kebudayaan Israel, Miki Zohar di X.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata tindakan Israel menyasarkan pemimpin Hamas adalah operasi “sepenuhnya bebas”.
“Tindakan hari ini terhadap ketua pengganas tertinggi Hamas adalah operasi Israel yang sepenuhnya bebas,” menurut kenyataan pejabat Netanyahu, sambil menambah: “Israel yang memulakan, Israel yang melaksanakan dan Israel yang bertanggungjawab sepenuhnya.”
Washington menggesa rakyatnya di Doha supaya berlindung di tempat masing-masing.
“Warga A.S. dinasihatkan supaya berlindung di tempat masing-masing dan memantau media sosial @USEmbassyDoha untuk perkembangan terkini,” menurut hantaran kedutaan A.S.
Ketua Setiausaha PBB Antonio Guterres mengecam “pelanggaran terang-terangan” kedaulatan Qatar oleh Israel.
Iran, penyokong utama Hamas, mengecam serangan itu sebagai “pelanggaran besar terhadap semua peraturan dan undang-undang antarabangsa, pelanggaran kedaulatan dan integriti wilayah Qatar, serta serangan terhadap perunding Palestin”.
Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengecam serangan itu, dengan Menteri Luar Jordan Ayman Safadi menyifatkannya sebagai “sambungan kepada pencerobohan kejam Israel yang mengancam keselamatan dan kestabilan rantau ini”.
Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah bin Zayed menulis di X bahawa negaranya berdiri “dalam solidariti penuh bersama Qatar yang dikasihi”.
Pergerakan Jihad Islam, yang turut berperang bersama Hamas di Gaza, juga mengecam serangan tersebut.
Serangan itu berlaku ketika Israel meningkatkan serangan maut ke atas Bandar Gaza, pusat bandar terbesar wilayah Palestin itu.
Pada Isnin, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan video kepada penduduk bandar berkenaan: “Saya katakan kepada penduduk: kamu telah diberi amaran, tinggalkan sekarang!
“Semua ini hanyalah permulaan, hanya pembuka jalan, kepada operasi utama yang lebih hebat – gerakan darat pasukan kami, yang kini sedang bersiap sedia untuk memasuki Bandar Gaza,” katanya. –AFP

