Serangan Israel di Doha: Qatar sahkan identiti seorang mangsa

DOHA: Kementerian Dalam Negeri Qatar mengesahkan identiti seorang daripada mangsa terkorban dalam serangan Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di Doha yang dikata menempatkan anggota Biro Politik Hamas, Selasa lalu, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, identiti Jihad Riyah Hassan Labad yang syahid telah disahkan.

Katanya, ia sebagai sebahagian daripada pemantauan berterusan terhadap perkembangan berkaitan sasaran Israel dan berdasarkan operasi lapangan yang dijalankan oleh agensi keselamatan berkaitan untuk mengumpul bukti serta maklumat.

Menurut kenyataan itu lagi, cebisan mayat ditemui di sekitar tempat kejadian, dan pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Qatar sedang berusaha mengenal pasti mangsa dengan tepat.

Kementerian itu menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan, dan mengumumkan sebarang maklumat yang disahkan melalui saluran rasmi.

Ia turut memaklumkan usaha diteruskan untuk mengesan dan mengenal pasti individu yang masih hilang, manakala pasukan lapangan khas sedang menjalankan operasi mencari serta menyiasat.