KINARUT: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini diadakan di lokasi arwah ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Mustapha, pada 16 Julai lalu.
Pada prosiding ‘locus in quo’ atau di tempat kejadian itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan hadir bersama pegawai pengendali dan pihak berkepentingan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung insiden kematian arwah Zara.
Prosiding termasuk melakukan simulasi menggunakan patung yang dijatuhkan dari lokasi arwah dipercayai berada sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan.
Difahamkan, simulasi itu turut membabitkan aksi menaiki palang besi di koridor bangunan asrama bagi menilai secara dekat kemungkinan yang berlaku pada hari kejadian.
Patung yang digunakan untuk simulasi itu tiba pada kira-kira 11.20 pagi tadi, dilihat dibawa masuk ke kawasan kejadian oleh pasukan peguam Datuk Ram Sing yang mewakili seorang daripada tertuduh kanak-kanak dalam kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak.PauseNextMute
Terdahulu, Koroner Amir Shah tiba di kawasan kejadian pada jam 9 pagi, diiringi kakitangan mahkamah, pegawai pengendali serta peguam yang mewakili anak guam masing-masing dalam inkues berkenaan.

