KANGAR: Seorang fasilitator motivasi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja di sebuah sekolah di daerah Padang Besar pada Julai lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan, 44, dari Kota Tinggi, Johor, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas prosiding kes itu yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Sesyen dipindahkan ke Mahkamah Majistret berikutan ketiadaan hakim mahkamah kerana bercuti.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di dewan sebuah sekolah, di daerah Padang Besar pada kira-kira jam 9 pagi pada 10 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 11(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara tidak lebih tiga tahun bagi pertuduhan kedua.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ayuni Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Tengku Ruqayyah meminta mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh, namun Nur Ayuni merayu mahkamah memberikan jumlah minimum terhadap anak guamnya yang juga seorang duda tiada pendapatan tetap kerana bekerja fasilitator motivasi yang berdepan masalah kesihatan, selain menanggung ayah yang tua serta kakaknya yang juga ibu tunggal.
Ana Rozana kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen dan laporan forensik.
Februari tahun lalu, tertuduh pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki sebuah universiti awam di Melaka.

