KOTA BHARU: Pihak berkuasa Thailand hari ini, mengeluarkan amaran tegas kepada pengedar dadah, termasuk dari Malaysia supaya berhenti menggunakan pekan Sungai Golok sebagai lokasi transit bagi pengedaran narkotik.
Pegawai Daerah Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng, berkata operasi anti-dadah akan dipergiatkan di bawah slogan ‘Tiada Dadah, Tiada Pengedar’ tanpa sebarang rundingan atau kompromi dalam usaha membanteras narkotik.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan menjadikan pekan Sungai Golok sebagai daerah bebas dadah secepat mungkin, sekali gus memberi isyarat jelas kepada pengedar dan rangkaian mereka.
“Masalah ini umpama barah yang terlalu lama yang merosakkan komuniti kita.
“Dadah menjadikan pekan Sungai Golok sebagai hab transit, menambah ketagihan dan mencetuskan pelbagai jenayah lain. Kita tidak boleh membiarkan ia berterusan,” katanya.
Supeeyan yang juga Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, turut memberi amaran kepada pengedar dari Malaysia supaya tidak cuba menjadikan pekan sempadan itu sebagai laluan penyeludupan.
“Amaran ini terpakai kepada penduduk tempatan dan juga pengedar asing. Jika anda fikir boleh mengambil kesempatan terhadap pekan sempadan ini, fikir semula. Kami akan memburu anda,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, beliau menambah pentadbiran daerah bekerjasama dengan kumpulan komuniti dan unit keselamatan untuk melaksanakan operasi ‘Re X-Ray’.
“Tindakan proaktif ini termasuk serbuan, sekatan jalan dan tangkapan berfokus, dengan sokongan risikan serta bukti kukuh,” katanya.
Supeeyan menegaskan, penguatkuasaan tidak terhenti pada tangkapan semata-mata.
“Setiap pengedar kecil yang ditangkap mesti membawa kita kepada orang tengah dan dalang utama.
“Misi kami adalah untuk melumpuhkan keseluruhan rangkaian,” katanya.
Beliau berkata, Pasukan Petugas Narkotik daerah dan unit elitnya sudah mencatat kejayaan besar dengan merampas sejumlah besar bekalan dadah serta menahan suspek dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau turut mengingatkan pegawai kerajaan supaya tidak terbabit dalam perdagangan itu, sama ada sebagai pengguna mahupun pengedar.
“Jika kami dapati mana-mana pegawai terbabit, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa pengecualian. Tiada sesiapa akan dilindungi,” katanya.
Pekan Sungai Golok, yang terletak bersebelahan sempadan Rantau Panjang, sejak sekian lama dianggap sebagai pusat perdagangan dan perjalanan rentas sempadan.
Namun, pihak berkuasa berkata ia turut dieksploitasi sindiket sebagai pangkalan bagi kegiatan pengedaran dadah.

