KOTA TINGGI: Tiga termasuk dua beradik masing-masing dihukum denda RM250,000 dan penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyimpan bangkai seekor harimau belang betina (Panthera Tigris Jacksoni) tanpa permit khas, minggu lalu.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh, Md Shaheezam Md Salim, 49; Nazerin Tomiran, 47; dan Mohamad Nazrol Tomiran, 28; mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama-sama menyimpan harimau belang betina yang telah mati itu di bahagian belakang bonet sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mana ia adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.

Tiga lelaki termasuk dua beradik, Md Shaheezam Md Salim, (baju kelabu), Nazerin Tomiran, (baju hitam lengan panjang) dan Mohamad Nazrol Tomiran, masing-masing dihukum denda RM250,000 dan penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas tuduhan menyimpan seekor harimau belang betina (Panthera Tigris Jacksoni) tanpa permit khas, minggu lalu. – Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN
Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah stesen minyak di Felda Tenggaroh, Mersing kira-kira jam 6.10 pagi, 16 September lalu itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 70(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM250,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan dan penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.
SUmber Dari : Berita Harian Online

