KUALA LUMPUR – Seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu melaporkan diri pada minggu lalu ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah.
Menurut Suruhanjaya itu, pegawai tersebut ditahan polis semalam di rumahnya dan pemeriksaan dijalankan menemui bahan terlarang disyaki dadah.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengambil maklum berhubung tangkapan melibatkan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang baharu melaporkan diri pada minggu lalu untuk bertugas di Suruhanjaya ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelasnya, SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
Menurut kenyataan itu, SPRM tidak akan berkompromi dengan salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangan dan komited untuk memastikan integriti serta tata kelola organisasi sentiasa dipelihara. – MalaysiaGazette

