KUALA LUMPUR: Kegiatan sebuah kilang haram yang memproses sisa elektronik (e-waste) di kawasan perindustrian di Gurun, Kedah lumpuh selepas diserbu pihak berkuasa semalam, yang membawa kepada rampasan bernilai RM71.8 juta.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof, berkata serbuan pada jam 11 pagi itu dilakukan hasil risikan teliti oleh Cawangan Risik PSP Bukit Aman bersama PSP 3 Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Beliau berkata, serbuan mengejut itu membuatkan 21 pekerja di dalamnya terkedu sebelum ditahan.
“Daripada jumlah itu, seorang adalah lelaki tempatan manakala 20 lagi adalah warga asing iaitu dari Pakistan, Bangladesh, India dan Myanmar yang dipercayai bekerja secara haram.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis menemui longgokan kabel elektrik, tembaga, aluminium, komponen elektronik serta 1,043 beg jumbo berisi plastik,” katanya.
Beliau berkata, semua pekerja terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Pihak JAS Sungai Petani pula menyita semua sisa e-waste dan peralatan untuk dianalisis dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Siasatan kini giat dijalankan bagi memburu dalang utama sindiket ini yang dipercayai sudah lama mengaut keuntungan lumayan hasil kegiatan mencemarkan alam sekitar ini,” katanya.

