Warga emas buta kena ‘scam’ hampir setengah juta ringgit

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas cacat penglihatan kerugian hampir setengah juta ringgit selepas terjerat dengan penipuan ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa berusia 73 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 1.58 tengah hari, semalam.

Pada 3 petang 24 Jun lalu, mangsa yang juga pesara menerima panggilan daripada individu tidak dikenali memaklumkan dari sebuah syarikat insurans.

Individu terbabit memberitahu terdapat tuntutan rawatan yang dibuat oleh mangsa di sebuah hospital di Damansara, Kuala Lumpur.

“Mangsa menafikan pernah membuat tuntutan seperti yang dinyatakan, namun sindiket meminta mangsa membuat laporan polis kononnya mengesyaki ada individu lain yang menyalahgunakan namanya,” katanya.

Menurutnya, selepas itu talian kononnya disambungkan kepada individu yang mengaku dirinya polis dan mangsa membuat laporan secara dalam talian.

Sindiket kononnya membuat semakan atas nama mangsa dan memaklumkan nama mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram.

Bagi menyelesaikan kes itu mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baharu dan perlu memasukkan semua wang simpanan ke dalam akaun itu untuk tujuan siasatan bagi memastikan sama ada wang dan juga aset miliki mangsa adalah dari sumber haram ataupun tidak.

“Terjerat dengan helah sindiket, mangsa kemudian meminta isterinya membuka satu akaun bank yang baharu kerana dirinya yang uzur dan cacat penglihatan.

“Selepas itu semua wang simpanan milik mangsa dan wang simpanan isterinya dimasukkan ke dalam akaun berkenaan,” katanya.

Azli berkata, mangsa juga diminta supaya tidak menggunakan akaun yang baharu dibuka itu dalam masa terdekat bagi mengelakkan wang mangsa tidak dikembalikan.

Katanya, pada 25 September lalu mangsa memaklumkan perkara itu kepada anaknya dan anaknya kemudian memaklumkan ia adalah penipuan.

Menurutnya, selepas semakan dibuat terhadap akaun bank yang baharu dibuka isterinya, mendapati terdapat beberapa kali transaksi pindahan wang yang dibuat dari akaun itu secara berperingkat dari 6 Julai hingga 14 Ogos lalu yang semuanya berjumlah RM431,742 ke akaun individu yang tidak dikenali.

Mangsa kemudian mengesyaki dirinya sudah ditipu sehingga kerugian RM431,742.