JAKARTA: Indonesia menarik balik penggantungan lesen operasi tempatan TikTok selepas platform media sosial itu menyerahkan data yang diminta kerajaan berhubung siri protes baru-baru ini, menurut kenyataan Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital.
Indonesia adalah pasaran kedua terbesar bagi TikTok yang dimiliki oleh syarikat ByteDance dari China, dengan lebih 100 juta pengguna.
Kementerian berkenaan dalam kenyataan kelmarin berkata, pihaknya menggantung sementara lesen operasi aplikasi itu kerana gagal menyediakan data mencukupi berkaitan aktiviti ciri siaran langsung ketika protes anti-kerajaan pada Ogos lalu.
Namun, TikTok menyerahkan data yang diminta pada hari sama, menurut Ketua Pengarah kementerian, Alexander Sabar dalam satu kenyataan semalam.
“Berdasarkan pelaksanaan kewajipan, Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital… mengaktifkan semula status TikTok sebagai pengendali sistem elektronik berdaftar,” katanya.PlayNextMute
Jurucakap TikTok enggan mengulas lanjut, namun aplikasi perkongsian video itu sebelum ini menyatakan ia mematuhi undang-undang di negara tempat ia beroperasi.
Syarikat itu menghadapi beberapa cabaran dalam menjalankan operasinya di Indonesia.
Pada Ogos lalu, ciri siaran langsungnya digantung sementara susulan protes ganas yang tercetus selepas kematian seorang lelaki akibat dirempuh kenderaan polis.
Isnin lalu, agensi antimonopoli Indonesia mengenakan denda sebanyak AS$900,000 (RM3.7 juta) terhadap TikTok kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai pengambilalihan platform e-dagang Tokopedia dalam tempoh ditetapkan.
Ciri e-dagang TikTok juga pernah digantung oleh kerajaan pada 2023 selepas ia melaksanakan inisiatif untuk membantu perniagaan kecil.
TikTok kemudiannya membeli 75 peratus pegangan dalam Tokopedia, platform e-dagang terbesar di Indonesia, yang menyatukan cabang perniagaan beli-belah kedua-dua syarikat.

