23 peserta misi GSF dijadual tiba di tanah air malam esok

KUALA LUMPUR – Seramai 23 peserta Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia dijadualkan tiba di tanah air Selasa malam selepas melalui detik mencabar sepanjang misi kemanusiaan mereka ke Gaza baru-baru ini.

Kumpulan tersebut dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada jam 9.45 malam.

Satu majlis sambutan khas turut dirancang bagi meraikan kepulangan mereka, sebagai tanda penghargaan kepada keberanian dan semangat kemanusiaan yang ditunjukkan dalam usaha membawa bantuan ke wilayah Gaza yang sedang bergolak.

Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul kini sedang menguruskan urusan kepulangan semua peserta terbabit termasuk penyelarasan dokumentasi dan transit perjalanan mereka.

Misi GSF merupakan satu inisiatif antarabangsa melibatkan aktivis daripada lebih 40 negara, termasuk Malaysia, bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang dikenakan sekatan rejim Israel.

Namun, kapal flotilla telah dipintas dan diserbu oleh tentera Israel ketika menghampiri perairan Gaza menyaksikan ratusan aktivis ditahan, termasuk 23 rakyat Malaysia pada Khamis.

Laporan daripada badan guaman Adalah sebelum ini memaklumkan ramai aktivis ditahan tanpa akses segera kepada wakil undang-undang atau diplomatic dalam tempoh awal tahanan. Beberapa aktivis wanita turut dilaporkan mengalami layanan kasar ketika dalam tahanan.

Kepulangan kumpulan GSF Malaysia esok dijangka disambut dengan penuh emosi oleh ahli keluarga, rakan seperjuangan dan pertubuhan kemanusiaan tempatan.

Misi ini bukan sahaja menjadi simbol keberanian rakyat Malaysia dalam mempertahankan kemanusiaan sejagat, juga mengukuhkan lagi solidariti negara ini terhadap perjuangan rakyat Palestin yang berdepan penindasan berterusan. – MalaysiaGazette