KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang mempersoal langkah kerajaan mengumumkan pelaburan RM600 juta daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah, Carcosa Seri Negara.
Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan langkah itu ‘melencong’ daripada tujuan dan peranan sebenar penubuhan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang sepatutnya mengukuhkan daya tahan ekonomi serta menjana pulangan jangka panjang untuk rakyat.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Larut memberitahu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang ada dalam Dewan Rakyat pagi ini, untuk meneliti semula langkah itu yang didakwa menyimpang daripada tujuan sebenarnya GLIC.
“Khazanah Nasional satu badan yang kita bentuk untuk kepentingan rakyat, masa depan negara. Ia dana kedaulatan untuk negara.
“Jadi apa kena mengena nak guna RM600 juta duit Khazanah Nasional ini hendak membaiki Carcosa (Seri Negara). Saya hairan. Sepatutnya kalau nak Carcosa itu hendak dibangunkan, dibaiki bukan (dengan) minta duit Khazanah Nasional. Bukan itu caranya. Rugi.
“Dana kedaulatan ini sepatutnya melabur dalam banyak peluang pelaburan yang boleh kita berikan, yang boleh menghasilkan lebihan yang lebih baik.
“Jadi RM600 juta untuk perbaiki Carcosa, ini kepentingan apa? Saya nak maklumkan (kepada) Menteri Kewangan II (supaya) fikir sikit,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, Hamzah mengesyorkan kepada kerajaan agar menswastakan bangunan Carcosa Seri Negara kepada syarikat yang mampu ‘menjaga’ bangunan bersejarah berkenaan.
Beliau juga bimbang pelaburan sebanyak itu juga boleh bertukar menjadi ‘silap mata’.
“Kita swastakan Carcosa dan bagi kepada syarikat-syarikat yang mampu dan kita bagitahu, kau ambil 30 tahun dan ada pulangan hasil. Kau sewakan mungkin RM2 juta setahun, RM3 juta setahun. Kalau 30 tahun sudah menghampiri RM100 juta.
“Jadi apakah RM600 juta ini boleh buat pulangan sebegitu rupa? Saya takut ini semata-mata silap mata untuk lakukan sesuatu (dengan) RM600 juta,” katanya.
Untuk mengelak GLIC ‘dipergunakan’, Hamzah berharap entiti berkenaan perlu diberikan kebebasan korporat dan bebas daripada campurtangan politik.
Jika GLIC mengalami kerugian, beliau berkata pihak yang perlu menanggung implikasinya adalah pencarum.
“Setiap keputusan pelaburan mesti dinilai berdasarkan prestasi. Ia adalah jawapan yang sama awak (Menteri Kewangan II) beri kepada kami dulu.
“Yang Amat Berhormat Tambun perlu sedar apabila GLIC mengalami kerugian, yang menanggungnya tetap rakyat seperti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan pelabur Permodalan Nasional Bhd (PNB),” katanya.

