MUAR: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan dengan melarikan wang tunai, barang kemas serta telefon bimbit milik warga asing, awal bulan ini.
Vikneshwaran Selvaraj, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama tiga lagi warga asing yang masih bebas, didakwa merompak secara berkumpulan terhadap pekerja warga asing dengan melarikan wang tunai RM18,000 dan empat barang kemas.
Tertuduh dan tiga yang lain didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis makanan di Pusat Perniagaan Sinar Bakri di sini pada jam 1 pagi, 3 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 November ini untuk sebutan serahan dokumen dan membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

