WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengisytiharkan “perang di Gaza telah berakhir” ketika beliau berangkat ke Israel dan Mesir dalam lawatan damai berprofil tinggi.
Bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One pada permulaan lawatan yang disifatkannya sebagai “sangat istimewa”, Trump menepis kebimbangan berhubung gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan antara Israel dan Hamas.
“Perang sudah berakhir. Faham? Kamu faham maksud saya?” kata Trump, 79 tahun, apabila ditanya sama ada beliau yakin konflik antara Israel dan Hamas benar-benar telah tamat.
Apabila ditanya sama ada gencatan senjata itu akan kekal, beliau menjawab:
“Saya fikir ia akan kekal. Saya rasa semua orang sudah letih. Ia sudah berlarutan selama berabad-abad.”
Di Israel, Trump dijadual bertemu keluarga tebusan yang diculik oleh Hamas dalam serangan rentas sempadan pada 7 Oktober 2023, sebelum berucap di Parlimen Israel di Jerusalem.
Selepas itu, Trump akan menuju ke Mesir, di mana beliau dan Presiden Abdel Fattah al-Sisi akan bersama-sama menganjurkan sidang kemuncak lebih 20 pemimpin dunia bagi menyokong pelannya menamatkan perang Gaza dan mempromosikan keamanan di Timur Tengah.
Lawatan singkat presiden dua penggal itu sebahagiannya dilihat sebagai “kemenangan diplomatik” atas kejayaan perjanjian Gaza yang diusahakannya melalui pelan damai 20 perkara yang diumumkan pada akhir September.
“Semua orang amat teruja dengan detik ini. Ini satu peristiwa yang sangat istimewa,” kata Trump sebelum menaiki pesawat di Pangkalan Bersama Andrews berhampiran Washington, sambil memegang payung ketika hujan renyai-renyai turun.
Antara pegawai kanan AS yang menyertai beliau ialah Setiausaha Negara Marco Rubio, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, Ketua CIA John Ratcliffe dan pegawai tentera tertinggi Dan Caine.
Namun, Trump juga dijangka cuba menyelesaikan ketidaktentuan besar mengenai fasa seterusnya pelan damai — termasuk keengganan Hamas untuk melucutkan senjata dan kegagalan Israel memberi jaminan untuk berundur sepenuhnya dari wilayah Gaza yang musnah.
Trump menegaskan bahawa beliau mempunyai “jaminan” daripada kedua-dua pihak serta pemain serantau utama mengenai pelaksanaan fasa awal dan fasa-fasa seterusnya.
“Kami ada banyak jaminan secara lisan dan saya rasa mereka tidak mahu mengecewakan saya,” katanya.
Pemimpin Republikan itu menambah bahawa hubungannya dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu adalah “sangat baik.”
“Saya pernah berselisih faham dengannya, tetapi semuanya diselesaikan dengan cepat,” katanya.
Trump turut menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk melawat Gaza sendiri suatu hari nanti, walaupun tidak menyebut bila lawatan yang berisiko tinggi itu boleh diadakan.
“Saya akan berasa bangga untuk melakukannya. Saya sekurang-kurangnya ingin menjejakkan kaki ke sana.”
Trump juga berkata, badan pentadbiran baharu bagi Gaza akan ditubuhkan dalam masa terdekat.
Namun, beliau dilihat mengendurkan sedikit pendiriannya mengenai cadangan melibatkan bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair.
“Saya sentiasa sukakan Tony tetapi saya mahu pastikan beliau pilihan yang boleh diterima oleh semua pihak,” kata Trump ketika ditanya mengenai tokoh kontroversi di Timur Tengah kerana peranan Blair dalam pencerobohan Iraq pada 2003. – MalaysiaGazette

