MELAKA – Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat kes rogol berkumpulan pelajar junior dan merakamkannya di sebuah sekolah di Alor Gajah awal bulan ini akan dituduh di Mahkamah Alor Gajah pagi ini.
Menurut sumber, hanya suspek juvana pertama dan kedua berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu akan dituduh.
“Enam pertuduhan yang dikenakan adalah mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas perbuatan amang seksual fizikal.
“Dua suspek juvana itu masing-masing berdepan tiga pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun namun tidak melebihi 30 tahun dan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Laporan eksklusif MalaysiaGazette pada 11 Oktober lalu melaporkan empat suspek berusia 17 tahun direman enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Kes melibatkan mangsa, pelajar perempuan Tingkatan Tiga sekolah sama berusia 15 tahun dan kejadian pada jam 2.50 petang 2 Oktober lalu turut dirakam serta dilihat dua lagi suspek berusia 17 tahun menggunakan telefon bimbit.
Kejadian bagaimanapun hanya terbongkar petang 10 Oktober lalu selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut dalam kalangan suspek daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.
Kes itu mendapat liputan meluas media seluruh negara termasuk perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selain beberapa Menteri Kabinet, bekas menteri dan pembangkang. – MalaysiaGazette

