Sembilan pelajar, seorang wanita cedera akibat ribut di Sijangkang

KUALA LUMPUR – Kejadian ribut di Sijangkang Jaya dekat sini petang tadi menyebabkan seorang wanita dan sembilan pelajar sekolah cedera.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata,
kejadian melibatkan runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang.

Di lokasi, katanya, terdapat seorang mangsa wanita berumur 51 tahun telah terperangkap di bawah runtuhan namun berjaya diselamatkan tetapi cedera di pinggang dan paha.

Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk menerima rawatan.

Runtuhan juga melibatkan sebuah surau KAFA berhampiran dan terdapat anggaran tujuh hingga sembilan orang pelajar KAFA mengalami kecederaan ringan.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

Terdahulu, beberapa kawasan sekitar Sijangkang Jaya dilanda ribut sehingga menyebabkan pokok tumbang dan bumbung rumah penduduk serta sekolah tercabut sehingga video tular di media social.

Keajdian itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat selepas kejadian ribut itu berlaku sehari selepas beberapa kawasan di Meru, Klang semalam. – MalaysiaGazette